Saturday, May 12, 2007

Prestasi Felipe Massa begitu meyakinkan di sessi kelayakan

Sessi kelayakan bermula dengan suhu litar mencecah 49 darjah Celcius, lebih panas berbanding suhu ketika sessi ujian minggu lalu.

Pasukan McLaren kekal mendominasi hujung minggu setakat ini apabila kedua-dua pemandu mereka mencatat masa pertama dan kedua terpantas pada sessi latihan tadi. Pasukan BMW Sauber pula teguh di tempat ketiga dan keempat. Pasukan Ferrari setakat ini masih belum menunjukkan sebarang taring apabila setiap kali tewas dengan catatan masa pasukan McLaren.

Bridgestone membawa kompoum medium dan keras untuk perlumbaan minggu ini namun dengan suhu cuaca yang tinggi, perbezaan persembahan antara kedua-dua kompaun ini tidak akan begitu ketara.

Litar de Catalunya telah menjalani perubahan besar tahun ini dengan penambahan chicane baru pada selekoh kedua terakhir. Ini akan membenarkan kereta bersaing dengan lebih dekat sekaligus membolehkan mereka memotong ketika di selekoh pertama.

Sessi kelayakan pertama melihat Ralf Schumacher, Alexander Wurz, Mark Webber, Adrian Sutil, Christijan Albers dan Scott Speed terkeluar. Scott Speed langsung tidak mencatat sebarang masa untuk sessi kelayakan ini.

Vitantonio Liuzzi juga tidak mencatat sebarang masa pada sessi kelayakan kedua manakala kereta yang dipandu oleh Anthony Davidson dan Takuma Sato menghadapi masalah. Nico Rosberg, Rubens Barrichello dan Jenson Button adalah pemandu lain yang terkeluar pada sessi kelayakan ini.

Persaingan untuk sessi kelayakan terakhir begitu sengit. Pada awal sessi Lewis Hamilton dan Kimi Raikkonen saling bertukar tempat. Kemudian Fernando Alonso, wira tempatan, mencatat masa terpantas selepas pitstop yang pertama. Selepas pitstop kedua, Alonso sekali lagi mendahului sessi kelayakan walaubagaimana pun Felipe Massa kemudian memeranjatkan semua apabila mencuri masa terpantas sebaik sebelum sessi tamat.

Persembahan sessi kelayakan Massa sememangnya antara yang terbaik pernah dilihat. Ucapan terima kasih dari krew dan mekanik Ferrari selepas selesai sessi menjelaskan segalanya.

Ramai berpendapat kereta Alonso ringan untuk perlumbaan esok. Semestinya beliau tidak berpuas hati dengan tempat kedua sekiranya benar dan ini mungkin mengkompromi peluang beliau untuk memenangi perlumbaan esok petang.

Raikkonen dan Hamilton terpaksa berpuas hati dengan masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat di grid esok. Robert Kubica ditempat kelima mendahului teman sepasukannya Nick Heidfeld yang berada di tempat ketujuh. Jarno Trulli mempamerkan kekuatan Toyota di tempat ke enam. David Coulthard pula memisahkan dua pemandu Renault Heikki Kovalainen dan Giancarlo Fisichella di tempat ke sembilan.

Jika berdasarkan kepada sessi kelayakan hari ini, bersedialah untuk perlumbaan yang lebih sengit esok. Alonso sememangnya mahu menang di tempat sendiri. Namun jika Massa tidak melakukan sebarang kesilapan, kemungkinan besar Alonso terpaksa bekerja keras untuk mencapai hasratnya.

No comments: