Monday, January 7, 2008

Pelancaran MP4-23 di Stuttgart


McLaren melancarkan kereta baru MP4-23 di museum motorsport Mercedes-Benz di Stuttgart hari ini.

Pasukan dari Woking ini tekad untuk meneruskan perjuangan mereka musim ini dan melupakan musim malang yang dilalui mereka tahun lalu. Ini bermakna mereka mahu merampas Kejuaraan Dunia sekali lagi. Kali terakhir mereka memegang gelaran tersebut ialah pada tahun 1999.

Lewis Hamilton dan teman sepasukannya, Heikki Kovalainen merasmikan acara pelancaran tersebut dengan menyingkap kain penutup dari kereta MP4-23, sekaligus memperkenalkan ciptaan terbaru McLaren yang telah menjalani beberapa evolusi dari kereta tahun lalu, MP4-22. Menurut McLaren, seperti pasukan lawan mereka, Ferrari, MP4-23 juga tiada perbezaan yang ketara pada ciri luarannya. Kebanyakan permukaan aero kereta ini akan dinaiktaraf sebelum perlumbaan pembukaan di Australia March kelak.

Kereta ini akan turun ke litar buat pertama kalinya di Jerez pada hari Rabu dan dipandu oleh Kovalainen dan pemandu uji pasukan tersebut, Pedro de la Rosa. Masing-masing mempunyai chassis sendiri.

McLaren akan kekal di selatan Sepanyol untuk lima hari di litar. Hamilton dijadualkan memandu MP4-23 buat pertama kalinya pada hari Khamis.

Sunday, January 6, 2008

Ferrari memperkenalkan F2008 kepada dunia


Ferrari hari ini telah melancarkan kereta F2008 yang diharap dapat mengekalkan gelaran Juara Dunia bagi kategori Pemandu dan Pengeluar yang dimenangi oleh pasukan Itali ini tahun lalu.

Pelancaran tersebut berlangsung di kilang Ferrari di Maranello, Modena di Itali. Kereta F2008 ini adalah lanjutan logikal kepada kereta F2007 yang menggunakan wheel-base yang lebih panjang.

F2008, atau nama kodnya 659, dibangunkan berdasarkan peraturan baru yang mewajibkan penggunaan ECU standard serta kotak gear yang mampu bertahan untuk empat perlumbaan, dan merupakan rekabentuk kedua oleh pasukan yang diketuai oleh pengarah teknikal Ferrari, Aldo Costa.

Pasukan tersebut beria mengatakan bahawa F2008 secara keseluruhannya adalah satu rekabentuk baru.

Walaupun ciri-cirinya banyak menyamai F2007, tetapi apabila diteliti dengan lebih dekat lagi menunjukkan perubahan yang ketara dari segi aerodinamik, terumata sekali pada bahagian depan kereta.

Sayap depan baru yang telah diintegrasikan merupakan ciri visual paling menyerlah kereta F2008. Selain dari itu ia juga mempamerkan rupa keseluruhan yang mematuhi peraturan baru perlindungan tepi kokpit yang lebih tinggi, serta had baru dalam penggunaan bahan komposit oleh pengeluar.

Ini bermakna kereta baru ini adalah lebih berat berbanding F2007.

Ferrari bagaimanapun menyatakan bahawa spesifikasi aero F2008 akan melalui banyak perubahan sebelum perlumbaan pertama bermula berikutan program pembangunan yang intensif yang akan berlangsung pada sessi ujian pra-musim.

Ciri lain pada kereta F2008 termasuk kemampuan suspensi yang telah ditingkatkan untuk diadaptasi ke bahagian aerodanamik depan dan tepi F2008 yang kompleks.

Juara dunia Kimi Raikkonen dijadualkan untuk memandu kereta tersebut buat pertama kalinya di litar uji Ferrari di Fiorano esok.




Wednesday, November 14, 2007

Michael masih kekal pantas di Barcelona

Michael Schumacher masih kekal terpantas apabila beliau menamatkan sessi ujian terakhir beliau Sepanyol hari ini.

Juara dunia 7-kali ini kembali ke Ferrari untuk pembukan sessi ujian musim sejuk bagi membantu pasukan tersebut mengadaptasi kepada perubahan peraturan di mana penggunaan 'traction control' diharamkan. Beliau memperbaiki catatan masa yang dicatat olehnya semalam dan masih kekal di tempat pertama selepas melakukan 90 pusingan di litar Barcelona.

Felipe Massa mencatat masa keempat terpantas sekembalinya beliau memandu F2007 selepas percutiannya.

Pedro de la Rosa mencatat masa kedua terpantas, 0.4 saat lebih perlahan berbanding masa 1m21.496 saat yang dicatat oleh Schumacher. Namun beliau 0.4 saat lebih pantas dari temannya Gary Paffett di tempat kelima. Kedua-dua pemandu McLaren masing-masing menjalankan program pemanduan tanpa 'driver-aid'.

Heikki Kovalainen dari pasukan Renault mencatat masa ketiga terpantas, sementara pesaing beliau, Nico Rosberg dari pasukan Williams di tempat keenam.

David Coulthard masih kekal solid di tempat ketujuh untuk pasukan Red Bull Racing. Pengalamannya memandu kereta tanpa 'traction control' terbukti sangat berharga ketika ini. Karun Chandhok dari India memperbaiki catatan masanya, kini hanya 0.7 saat lebih perlahan dari Coulthard.

Nick Heidfeld pemandu terpantas pasukan BMW di tempat kelapan. Teman sepasukannya Robert Kubica mengalami masalah dengan peralatan baru untuk keretanya sementara pasukan ini bekerja keras untuk membangunkan aero bagi kereta musim 2008.

Jenson Button kembali ke Honda untuk menguji kereta hibrid sementara kembar Toro Rosso, Sebastien Bourdais dan Sebastian Vettel saling bertukar chassis, satu daripadanya dimuatkan elektronik untuk musim depan manakala yang satu lagi dimuatkan dengan kit musim 2007, namun masih tanpa penggunaan 'traction control'.

Toyota masih mengalami masalah apabila kedua-dua pemandu mereka, Jarno Trulli dan Franck Montagny terbabas. Pemandu Perancis itu melanggar penghadang litar. Menurutnya mereka gagal mencari set-up yang sesuai untuk keretanya. Selain itu mereka juga menghadapi masalah menentukan suhu tayar yang sesuai dan masalah perisian menyebabkan mereka kehilangan lebih banyak masa.

Force India memulakan ujian penilaian bagi pemandu mereka pada hari Rabu dengan Christian Klien mencatat masa yang lebih pantas dari Adrian Sutil dan Vitantonio Liuzzi.

Schumacher terpantas sekembalinya beliau ke Ferrari


Kepantasan serta kebolehan Michael Schumacher di litar masih terbukti walaupun selepas bersara apabila beliau mencatat masa terpantas di pembukaan sessi ujian musim sejuk di hari pertama semalam di Barcelona.

Pemegang gelaran juara dunia sebanyak 7-kali ini kembali ke Ferrari untuk membantu pasukan Itali tersebut dengan situasi perlumbaan tanpa penggunaan 'traction control'. Hanya beliau seorang yang berjaya mencatat masa dalam lingkungan 1m21s.

Walaupun setelah setahun beliau bersara, pemandu dari Jerman ini masih kelihatan selesa di dalam kereta Formula One apabila beliau mencatat masa 1m21.922 saat setelah melakukan 64 pusingan.

Pemandu kedua terpantas juga dari pasukan Ferrari iaitu pemandu uji mereka, Luca Badoer yang hanya 0.2 saat lebih perlahan dari Schumacher.

Pemandu uji McLaren, Pedro de la Rosa, mencatat masa ketiga terpantas namun beliau lebih dari .7 saat lebih perlahan dari Schumacher. Pasukan dari Woking ini memulakan program tersendiri untuk menguji ECU standard yang akan digunakan musim depan.

Rakan sepasukan de la Rosa, Gary Paffett mencatat masa keenam terpantas selepas menghabiskan masa beberapa jam dalam simulator sejak beberapa bulan lepas untuk pembangunan kereta mereka bagi tahun 2008.

Satu-satunya wakil Renault, Heikki Kovalainen pula mencatat masa keempat terpantas. Beliau masih belum menandatangani sebarang kontrak dengan mana-mana pasukan untuk tahun depan.

0.021 saat dibelakang Kovalainen ialah Robert Kubica dari pasukan BMW Sauber.

Nick Heidfeld, salah seorang pemandu yang mempunyai pengalaman berlumba tanpa 'traction control' pula di tempat kesepuluh.

Pemandu baru Williams, Kazuki Nakajima di tempat ketujuh, meninggalkan rakan sepasukannya Nico Rosberg di tempat ke-11.

David Coulthard dari pasukan Red Bull Racing di tempat kelapan. Pemenang perlumbaan GP2, Karun Chandhok pula hanya di tempat ke-18.

Kedua-dua pemandu Toyota mengalami beberapa masalah sepanjang sessi ujian dijalankan. Jarno Trulli yang sedang deman berada di tempat kesembilan, dijadualkan untuk menjalankan beberapa program untuk tahun 2008 namun masalah enjin menyebabkan rancangannya terbantut. Pemandu uji Franck Montagny pula terpaksa menunggu sementara pasukannya memperbaiki masalah ECU standard yang baru dipasang di keretanya.

Persembahan Sebastian Vettel dan Sebastian Bourdais hampir sama untuk pasukan Toro Rosso sementara pemanduan cemerlang Andreas Zuber meletakkan Honda di tempat ke-14. James Rossiter di tempat ke-17.

Anthony Davidson yang memandu Super Aguri SA07-05B (atau Honda RA107B) di tempat ke-16. Davidson melakukan ujian ke atas sistem kawalan MES dan melengkapkan program analisis elektronik sebelum ke program pembangunan kereta di sebelah petang.

Kereta asukan Force India F1 Team (dulu dikenali sebagai pasukan Spyker F1 Team), yang dipandu oleh Giedo van der Garde dan Roldan Rodriguez masing-masing ditempat ke-19 dan ke-20.

Tuesday, November 6, 2007

Schumacher kembali ke Ferrari


Michael Schumacher, 7 kali juara dunia, akan kembali ke arena sukan Formula 1 untuk pertama kalinya selepas beliau bersara bersama pasukan Ferrari untuk satu sessi ujian rasmi di Barcelona minggu hadapan.

Schumacher akan menguji kereta F2007 pada hari Selasa dan Rabu di litar Barcelona untuk sessi ujian menjelang penutup musim 2007.

Ferrari sentiasa membuka pintu untuk Schumacher untuk memandu kereta mereka selepas persaraan beliau di akhir musim 2006. Wakil pasukan tersebut kini mengesahkan bahawa pemandu Jerman ini telah menyatakan hasrat beliau untuk menguji kereta F2007. Ini, menurutnya, dapat membantu meningkatkan prestasi kereta pasukan Ferrari dengan input-input yang diberikan oleh Schumacher kelak.

Input-input dari sessi ujian di Sepanyol ini mungkin terbukti penting untuk persediaan bagi musim 2008. Apatah lagi Formula 1 akan memulakan era baru tanpa penggunaan 'traction control' serta 'driver aids' yang lain.

Penggunaan 'traction control' telah dibenarkan dalam Formula 1 sejak Grand Prix Sepanyol 2001. Ini bermakna kedua-dua pemandu Ferrari, juara dunia Kimi Raikkonen dan Felipe Massa, mempunyai pengalaman yang terhad tanpa penggunaannya.

Raikkonen hanya pernah berlumba 4 perlumbaan dalam kareer Formula 1 beliau tanpa penggunaan 'traction control' sementara Felipe Massa pula hanya pernah berlumba dengan menggunakannya.

Schumacher - penyokong kuat 'traction control' - pernah berlumba ketika alat tersebut diharamkan (1993-2001), menjadikan pengalaman yang akan digunakan untuk sessi ujian minggu hadapan sangat berharga.

Selepas menamatkan kareer beliau pada bulan Okober tahun lalu, Schumacher telah menjadi penasihat di Maranello dan menghadiri 5 perlumbaan sepanjang musim 2007.

Walaupun beliau pernah memandu F2007 sebelum ini untuk demonstrasi di Fiorano bulan lalu, sessi ujian di Barcelona akan menjadi satu pemanduan yang lebih serius baginya sejak beliau bersara.

Berikutan sessi ujian ini, beliau akan berlumba kart di Brazil sebelum bertolak ke Wembley untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan Race of Champions yang akan berlangsung pada 16 December.

Wednesday, October 24, 2007

10 tahun pembekuan untuk pembangunan enjin

Pembangunan enjin untuk Formula 1 akan dibekukan untuk tempoh masa 10 tahun bermula dari tahun 2008. Persetujuan ini dicapai berikutan perjumpaan FIA Motor Sports World Council pada hari Rabu.

Tujuan badan yang bertanggungjawab tersebut adalah dikatakan untuk mempromosikan cara yang lebih mesra alam serta mencari cara alternatif bagi meningkatkan persembahan kereta-kereta Formula 1.

Pembangunan yang telah dijalankan untuk enjin berkuasa V8 telah dihadkan sejak 2007, walaupun sesetengah pengubahsuaian dibenarkan selagi ia masih mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Walaubagaimanapun, bermula dari tahun depan semua pengubahsuaian dilarang. Namun selepas lima tahun, ubahsuai boleh dilakukan dengan syarat semua pihak bersetuju diikuti jangka masa pemberitahuan selama dua tahun.

Pembekuan sepenuhnya ini bermaksud bahawa tiada pengecualian dalam pembangunan beberapa bahagian enjin, seperti yang dibenarkan dalam peraturan sekarang ini.

Pada satu ketika dulu, Formula 1 dijangka akan menggunakan enjin berkuasa turbo, 1.4 liter, yang digabungkan dengan penggunaan teknologi KERS. Tetapi sekarang FIA membuat keputusan untuk mengekalkan kestabilan enjin, dan dalam masa yang sama menggalakkan pengeluar-pengeluar mencari kelebihan untuk persembahan enjin masing-masing melalui KERS.

Pengeluar-pengeluar utama dalam Formula 1 memberi cadangan kepada Max Mosley, presiden FIA, awal bulan ini, di mana mereka mahukan enjin V8 2.4 liter yang digunakan sekarang dikekalkan sehingga 2009, dan kemudian melakukan modifikasi supaya enjin-enjin tersebut boleh digunakan untuk empat perlumbaan dengan menggunakan teknologi KERS serta meningkatkan penggunaan minyak dengan cara yang lebih efisyen. Walaubagaimanapun, cadangan tersebut ditolak oleh FIA dan mereka kemudian mencadangkan agar peraturan enjin sekarang digunakan sehingga 2017.

Pengeluar-pengeluar enjin dikatakan ingin meminta sokongan dari pasukan-pasukan persendirian dalam Formula 1 sebelum memberikan semula cadangan mereka semula kepada FIA.



Saturday, October 6, 2007

Masih ada harapan untuk Alonso dan Raikkonen di Brazil


Selamat datang ke Grand Prix China. Seperti yang telah diramal, kita akan menyaksikan perlumbaan dalam keadaan hujan sekali lagi. Adakah keputusan perlumbaan akan berpihak kepada Lewis Hamilton sepertimana di Jepan minggu lalu?

Jika Hamilton berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Fernando Alonso hari ini, beliau akan bergelar juara dunia rookie pertama dalam sejarah Formula One. Oleh itu kita mungkin akan melihat Hamilton lebih berhati-hati di perlumbaan kali ini berbanding dengan teman sepasukannya, apatah lagi apabila beliau terpaksa memulakan perlumbaan dari tempat keempat. Mampukah Alonso menghalang kemaraan Hamilton untuk merampas gelaran juara dari tangannya tahun ini?

Atau mampukah Kimi Raikkonen merampas segalanya dari tangan kedua-dua pemandu McLaren itu? Semuanya akan terjawab dengan nyalanya kelima-lima lampu merah menandakan perlumbaan di Shanghai telah bermula.

Hamilton mendahului daripada Raikkonen di selekoh pertama. Alonso memintas Massa dari luar namun Massa mengambil semula tempatnya di selekoh enam.

Permulaan Ralf Schumacher tidak seperti yang diharapkannya apabila beliau terbabas dari litar. Kini beliau di tempat terakhir dari tempat keenam.

Sebastian Vettel kini di P12 dari P17. Teman sepasukannya, Tonio Liuzzi, juga tidak kurang hebatnya kini di P7 dari P11.

Terdapat sedikit pelanggaran antara Rubens Barrichello dan Takuma Sato namun masing-masing dapat kembali semula ke litar tanpa sebarang masalah yang serius.

Alonso masih memburu tempat ketiga dan memberi tekanan kepada Massa di pusingan 4. Mark Webber juga cuba untuk mendapatkan kembali P7 dari Liuzzi.

Liuzzi berjaya memintas Nick Heidfeld untuk P5 di pusingan 5. Nico Rosberg juga memintas Giancarlo Fisichella untuk P16 sebelum memintas teman sepasukannya Alexander Wurz untuk P15. Kompaun tayar 'softer' lebih berkesan dalam keadaan basah ini. Semantara itu Hamilton semakin menjarakkan diri dari Raikkonen di tempat kedua.

Hamilton mencatat masa terpantas di pusingan 7. Kini jarak antaranya dengan Raikkonen adalah 4 saat. Beliau satu saat lebih pantas dalam satu pusingan berbanding pemandu-pemandu lain.

Vettel memintas Heikki Kovalainen untuk P10 di pusingan 8 dan Rosberg memintas Sato untuk P14.

Jarno Trulli memintas Kovalainen untuk P11 di pusingan 9. Kovalainen dijangka mempunyai sedikit masalah 'understeer' dengan kereta R27 miliknya. Kini Button pula mula memberi tekanan kepadanya.

Red Bull Racing menjangkakan hujan yang lebih lebat akan turun dan mengarahkan Webber untuk memelihara tayar dalam keadaan litar yang semakin mengering.

Kebanyakan pemandu mengambil laluan lumba yang lebih basah untuk memelihara tayar masing-masing.

Di pusingan ke 12, Kovalainen mendapat tekanan bukan sahaja dari Button malah dari Rosberg juga sementara itu Schumacher telah memintas Wurz untuk P15.

Anthony Davidson berhenti di tepi litar. Beliau bersara dari perlumbaan di pusingan 13.

Schmacher juga turut mengambil tempat di belakang Rosberg untuk memintas Kovalainen.

Rosberg berjaya memintas Button untuk P13 di pusingan 15.

Hamilton masuk ke pit di pusingan yang sama untuk melakukan pitstop rutin pertama beliau. Selepas melihat keadaan tayar masih dalam keadaan yang baik, Hamilton membuat keputusan untuk tidak menukar tayar keretanya. Beliau kembali ke litar di hadapan David Coulthard di P4 sementara Raikkonen mengetuai perlumbaan.

Raikkonen tidak membuang masa dan terus mencatat masa terpantas perlumbaan.

Kovalainen melakukan kesilapan kecil di pusingan 17 membenarkan Rosberg memintasnya untuk P12.

Massa pemandu Ferrari pertama masuk ke pit untuk pitstop rutin beliau. Seperti Hamilton, beliau juga tidak menukar tayar kereta F2007 miliknya.

Di pusingan 18, giliran Schumacher pula memintas Kovalainen.

Raikkonen mencatat masa terpantas sekali lagi untuk memastikan beliau dapat menghapuskan jarak masa yang telah dibina oleh Hamilton.

Alonso masuk ke pit di pusingan 19. Beliau juga mengekalkan tayar keretanya. Beliau kembali ke litar di belakang Massa.

Raikkonen juga masuk ke pit di pusingan yang sama. Nampaknya kesemua empat pemandu teratas menggunakan strategi yang sama kerana Raikkonen juga tidak menukar tayar keretanya. Raikkonen kembali ke litar di belakang Hamilton yang mengambil semula kedudukan pertama dari beliau.

Coulthard dan Liuzzi masuk ke pit di pusingan ke 20 untuk pitstop rutin masing-masing.

Hamilton mencatat masa terpantas di pusingan 23. Kini beliau mendahului 5 saat Raikkonen.

Schumacher memintas Rosberg selepas hampir 3 pusingan memberi tekanan kepada pemandu Williams tersebut. Namun beliau terbabas di pusingan 24 apabila beliau cuba memintas Liuzzi untuk P11. Beliau kembali ke pit untuk melihat jika terdapat sebarang kerosakan pada keretanya.

Wurz masuk ke pit dan memilih untuk menggunakan tayar 'dry'. Sebaik sahaja beliau kembali ke litar, beliau terus mencatat masa terpantas. Nampaknya pilihan pasukan Williams menukar tayar membawa kesan yang memberangsangkan.

Giliran Kubica dan Trulli masuk ke pit di pusingan 26. Jelas sekali tayar 'dry' adalah pilihan yang paling tepat ketika ini kerana keadaan litar yang semakin kering.

Alonso berjaya memintas Massa di pusingan ke 27. Massa segera masuk ke pit di pusingan yang sama untuk menukar tayar keretanya. Namun kelihatan hujan mula turun sekali lagi. Adakah pilihan ini pilihan yang untuk pasukan Ferrari?

Hamilton melakukan kesilapan di pusingan 28 namun beliau berjaya menghalang Raikkonen dari memintasnya untuk P1. Hamilton kelihatan kurang berkeyakinan dengan keretanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini.

Raikkonen akhirnya berjaya memintas Hamilton di pusingan 29! Hamilton melakukan kesilapan sekali lagi di selekoh 9 dan Raikkonen tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Alonso semakin menghampiri Hamilton. Beliau 7 saat lebih pantas dari Hamilton di pusingan lepas.

Dan di pusingan 31 sekali lagi Hamilton melakukan kesilapan! Beliau benar-benar mempunyai masalah dengan cengkaman tayar. Dalam perjalanan beliau ke pit, beliau terbabas di perangkap 'gravel' dan marshal yang ada tidak dapat mengeluarkan kereta beliau dari perangkap tersebut. Nampaknya beliau tidak akan dinobatkan sebagai juara tengahari ini...

Raikkonen masuk ke pit di pusingan 33. Alonso juga sama.

Kini Kubica dari pasukan BMW Sauber mendahului perlumbaan namun di pusingan 34 Kubica berhenti di tepi litar kerana masalah teknikal pada kereta BMW F1.07 miliknya.

Button memintas Vettel untuk P4 di pusingan 35 sementara Alonso mencatat masa terpantas perlumbaan dalam cubaan beliau mengejar Raikkonen untuk P1. Raikkonen walaubagaimanapun tidak berpeluk tubuh dan mencatat masa terpantas di pusingan seterusnya.

Button tidak mahu ketinggalan lalu mencatat masa terpantas di pusingan 38.

Wurz masuk ke pit untuk pitstop terakhir beliau. Saya difahamkan bahawa pemandu dari Austria ini akan bersara pada akhir musim ini.

Fisichella memintas Liuzzi untuk P6 dan mencatat masa terpantas di pusingan 40 dek kerana keadaan litar yang semakin mengering.

Dengan kekecewaan Toro Rosso di Jepun minggu lalu, kali ini kedua-dua pemandu pasukan ini mempunyai peluang yang baik untuk mendapatkan beberapa mata perlumbaan. Ketika ini Vettel di P4 dan Liuzzi di P7.

Raikkonen mencatat masa terpantas baru di pusingan 44. Beliau mendahului Alonso sebanyak 8.5 saat.

Heidfeld pula mula memberi tekanan kepada Liuzzi untuk P7.

Fisichella pit di pusingan 46 dari P5.

Liuzzi masih dapat mengekalkan kedudukannya di P6 selepas 5 pusingan Heidfeld cuba memintasnya.

Persaingan masih sengit. Kovalainen memintas Webber untuk P9 di pusingan 49. Kini beliau mengejar Coulthard untuk mata terakhir perlumbaan.

Jarak antara Raikkonen dan Alonso kini lebih 10 saat walaubagaimanapun Alonso masih tidak berputus asa mengejar pemandu Finn di hadapannya apabila dia dan Raikkonen saling bertukar catatan masa terpantas.

Massa mencatat masa terpantas di pusingan 54.

Vettel yang melakukan strategi 1 pitstop diarahkan oleh pasukannya untuk menjimatkan minyak kerana Button berada 17 saat dibelakangnya di P5.

Raikkonen melintasi garisan penamat di tempat pertama sekaligus mencipta sejarah bagi pasukan Ferrari. Ini ada kemenangan kali ke-200 untuk pasukan Itali ini. Raikkonen menamatkan perlumbaan dengan jarak 10 saat kekal di hadapan Alonso. Massa mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.

Satu perlumbaan yang begitu baik untuk Vettel. Dengan keputusan P4 hari ini, beliau dapat menghapuskan rasa sangsi orang ramai terhadap kebolehannya selepas insiden di Jepun minggu lalu. Bukan sahaja beliau dapat mengalahkan teman sepasukannya yang memulakan perlumbaan di P11, malah beliau telah memulakan perlumbaan hari ini di P17 selepas dikenakan denda 5 grid penalti selepas menghalang Kovalainen di sessi kelayakan Q2 semalam. Satu keputusan yang membanggakan untuk pemandu muda dari Jerman ini.

Button mengambil tempat kelima untuk pasukan Honda dan Liuzzi di tempat keenam. Heidfeld di tempat ketujuh dan Coulthard berjauya mengekalkan kedudukan P8 dari Kovalainen.

Dengan Raikkonen dan Alonso mengakhiri perlumbaan ini masing-masing di tempat pertama dan kedua, dan dengan Hamilton yang telah terkeluar, ini bermakna ketentuan juara dunia tahun ini akan ditentukan di perlumbaan terakhir musim ini iaitu di Sao Paulo, Brasil di mana beza mata antara ketiga-tiga pemandu ini ialah 7 mata: Hamilton 107, Alonso 103 dan Raikkonen 100.

Pastikan anda bersama saya untuk perlumbaan di Brasil kelak!