Friday, September 28, 2007

Hamilton merampas petak pertama dari Alonso


Lewis Hamilton merampas tempat pertama dari teman sepasukannya Fernando Alonso di saat-saat akhir sessi kelayakan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat di litar Fuji Speedway hari ini.

Pemandu Britain ini pada mulanya di tempat ketiga sebelum beliau melakukan lap terakhir yang meletakkan beliau di petak pertama untuk perlumbaan hari esok dengan baki 22 saat sebelum sessi kelayakan tamat. Beliau mencatat masa 1m25.368 saat.

Ini sekaligus menjatuhkan Alonso ke petak kedua dengan perbezaan masa 0.1 saat. Walaubagaimana pun ia satu permulaan yang sempurna untuk pasukan McLaren esok dengan kedua-dua pemandu di barisan grid pertama.

Ferrari terpaksa berpuas hati dengan barisan grid kedua apabila Kimi Raikkonen mahupun Felipe Massa gagal memberi saingan yang lebih kepada pemandu McLaren setelah keadaan litar mula kering di sessi keayakan dua dan tiga.

Nick Heidfeld mengambil kedudukan 'normal'nya musim ini di tempat kelima sementara Nico Rosberg di tempat ke enam.

Pemandu Williams tersebut walaubagaimanapun dikenakan penalti 10-tempat grid selepas keretanya menukar enjin baru semalam. Ini bermakna pemandu pasukan Honda, Jenson Button akan mengambil tempatnya di tempat keenam.

Mark Webber berada di tempat ketujuh manakala hero bagi pasukan Toro Rosso, Sebastian Vettel akan memulakan perlumbaan esok di tempat kelapan. Ini adalah pencapaian terbaik pasukan tersebut musim ini. Robert Kubica melengkapkan tempat kesepuluh teratas untuk sessi kelayakan Grand Prix Jepun musim ini.

Pemandu yang terkeluar pada sessi kelayakan 2: Giancarlo Fisichella, Heikki Kovalainen, David Coulthard, Jarno Trulli, Tonio Liuzzi, Ralf Schumacher

Pemandu yang terkeluar pada sessi kelayakan 1: Rubens Barrichello, Alexander Wurz, Anthony Davidson, Adrian Sutil, Takuma Sato, Sakon Yamamoto



Hamilton mengetuai McLaren 1-2 di Fuji


Giliran McLaren mendahului sessi latihan kedua di Fuji hari ini apabila Hamilton mencatat masa terpantas untuk mengetuai catatan 1-2 oleh pasukan McLaren.

Hamilton yang hanya 2 mata mendahului rakan sepasukannya, Fernando Alonso untuk kejuaraan tahun ini mengekalkan jarak 0.2 saat dari pemandu Sepanyol itu sepanjang sessi dijalankan .

Felipe Massa untuk pasukan Ferrari di tempat ketiga namun ketinggalan lebih 0.7 saat dibelakang Hamilton.

Kimi Raikkonen yang mendahului sessi latihan pagi tadi jatuh ke tempat kelima. Jarno Truli memisahkan kedua-dua pemandu Ferrari di tempat keempat di litar kepunyaan Toyota.

Jika sebelum ini kebanyakan pemandu dari pasukan atas akan menunggu hingga ke saat akhir untuk mencatat masa, di litar ini mereka segera ke litar sebaik sahaja sessi dimulakan untuk mempelajari selok belok litar.

Hamilton memecahkan rekod yang dicatat oleh Raikkonen pagi tadi dengan beza 0.4 saat untuk mencatat masa terpantas 1m18.734s selepas setengah jam sessi latihan 2 bermula.

Alonso mencatat masa 1m18.948s sementara pasukan Ferrari gagal memberi sebarang saingan kepada pasukan lawan mereka.

Ini bukan kerana mereka tidak mencuba malah Massa terutamanya kelihatan agak kurang kemas dan terbabas dari litar sebanyak dua kali pada satu pusingan dalam cubaan beliau untuk mendapatkan kelajuan yang lebih dari kereta F2007 miliknya.

Terdapat beberapa peningkatan selepas setengah jam sessi bermula apabila pasukan-pasukan yang bersaing mula fokus untuk persediaan perlumbaan yang akan berlangsung Ahad ini serta apabila suhu litar mula turun.

Trulli dan Raikkonen masing-masing hampir mencatat masa yang sama di tempat keempat dan kelima menyingkirkan pemandu Renault Heikki Kovalainen dan Giancarlo Fisichella di tempat keenam dan ketujuh.

David Coulthard berada di tempat kelapan di hadapan Ralf Schumacher dari pasukan Toyota dan Robert Kubica melengkapkan kedudukan kesepuluh teratas.



Sunday, September 16, 2007

Raikkonen menang lagi di Spa


Bertemu kembali kita untuk perlumbaan yang dinantikan ramai, Grand Prix Belgium di Spa-Francorschamp. Perlumbaan kali ini diselubungi kisah McLaren yang dikecualikan dari Kejuaraan Pengeluar tahun ini serta denda sebanyak $100 juta kerana mempunyai maklumat sulit pasukan Ferrari dalam simpanan mereka. Pengecualian dan denda tersebut diberikan selepas bukti baru dikemukakan dalam bentuk e-mail oleh Pedro De La Rosa dan Fernando Alonso.

Walaubagimanapun, kedua-dua pemandu McLaren dibenarkan untuk terus bersaing bagi merebut Kejuaraan Pemandu tahun ini.

Kita letak semua kisah ini di belakang kita buat sementara waktu dan berikan tumpuan sepenuhnya untuk perlumbaan yang akan berlangsung.

Perlumbaan hari ini bermula dengan kedua-dua pemandu Ferrari di barisan hadapan grid dengan Kimi Raikkonen di petak pertama dan Felipe Massa di petak kedua. Alonso dan Lewis Hamilton pula berada di belakang kedua pemandu Ferrari ini di grid kedua.

Robert Kubica akan memulakan perlumbaan beliau di tempat ke-14 selepas kereta beliau menukar enjin baru semalam seperti juga Giancarlo Fisichella. Pasukan Renault memilih untuk memulakan perlumbaan beliau dari pit lane. Begitu juga dengan Anthony Davidson untuk pasukan Super Aguri.

Tiada sebarang masalah untuk Raikkonen mendahului perlumbaan dari Massa sebaik sahaja kelima-lima lampu merah dinyalakan.

Hamilton terbabas di Eau Rouge ketika bersaing dengan teman sepasukannya untuk posisi ketiga. Alonso berjaya mendapatkan kedudukan tersebut.

Kesemua pemandu dapat melepasi La Saurce tanpa sebarang drama.

Kovalainen naik dari tempat kesembilan, kini di tempa keenam sementara Nick Heidfeld pula jatuh pada tempat kelapan.

Fisichella terpaksa ditolak masuk ke dalam pit pada pusingan 2. Kelihatan seperti perlumbaan beliau tamat untuk hari ini.

Kubica setakat ini melakukan satu tugasan yang baik memintas kereta dihadapannya. Pada pusingan 4 beliau di tempat ke-10.

Teman sepasukannya, Heidfeld memintas Heikki Kovalainen untuk P7 di pusingan 5. Takuma Sato mengambil P17 dari Rubens Barrichello.

Di pusingan 6 Alonso masih konsisten lebih perlahan setengah saat dari kereta Ferrari di hadapannya.

Raikkonen mencatat masa terpantas perlumbaan di pusingan 7. Pemandu Finland ini semakin menjarakkan diri dari Massa.

Kubica pula berjaya memintas dua lagi kereta di hadapannya dan kini sedang berusaha untuk memintas Kovalainen untuk P8.

Vettel masuk ke pit pada pusingan 8 dan sekali lagi pada pusingan seterusnya. Kali ini beliau terus masuk ke garaj Toro Rosso.dan mekanik pasukan tersebut terus mengerumuni kereta STR2 miliknya untuk memperbaiki masalah yang timbul.

Raikonen menjarakkan lagi dirinya dengan Massa dan perbezaan antara mereka hampir 1 saat untuk setiap pusingan. Massa kini 4 saat dibelakang Raikkonen di akhir pusingan 11.

Kubica akhirnya berjaya memintas Kovalainen di pusingan 12 untuk P8. Beliau memintas pemandu Finland itu di Bus Stop, satu pintasan yang berani dari pemandu Poland ini.

Di pusingan 15, Nico Rosberg dan Webber masuk ke pit. Begitu juga dengan Raikkonen dan Alonso.

Massa kini mendahului perlumbaan.

Kubica masuk ke pit pada pusingan berikutnya. Pasukan Ferrari dan McLaren juga bersedia untuk pitstop pemandu mereka seterusnya.

Massa dan Hamilton masuk pe pit pada pusingan 17. Pasukan McLaren meletakkan minyak yang banyak pada kereta Hamilton dan dijangka stint kedua beliau akan lebih lama dari Alonso dan kedua-dua pemandu Ferrari. Mampukah perubahan strategi ini memberi keputusan yang lebih baik kepada Hamilton?

Kedudukan empat teratas masih kekal dengan Raikkonen mendahului dari Massa, Alonso dari Hamilton.

Bagi pemandu yang masih belum masuk ke pit untuk pitstop rutin mereka, berkemungkinan mereka menggunakan strategi 1 pitstop untuk perlumbaan ini.

Di pusingan 19, giliran Heidfeld masuk ke pit.

Kubica benar-benar bersemangat ketika ini memintas satu kereta demi satu kereta di hadapannya. Kini giliran David Coulthard menerima asakannya di pusingan 20.

Ralf Schumacher masuk ke pit di pusingan 21 diikuti oleh Sato dan Alexander Wurz di pusingan 22.

Kovalainen juga masuk ke pit dari P6 di pusingan 23. Ini adalah pitstop terakhir bagi beliau jika semua berjalan dengan baik. Beliau kembali ke litar di belakang Kubica di P10.

Pemandu yang masih belum masuk ke pit untuk pitstop rutin masing-masing ketika ini ialah Coulthard, Jenson Button, Vitantonio Liuzzi, Barrichello dan Davidson.

Ferrari masih mendahului perlumbaan ini di pusingan 24. Pasukan McLaren nampaknya tidak dapat memberi sebarang respon dengan persembahan Ferrari minggu ini.

Button dan Liuzzi masuk ke pit di pusingan 25 untuk pitstop pertama dan terakhir mereka.

Ketika ini jarak Hamilton semakin jauh dari tiga pemandu di hadapannya. Beliau tiada sebarang jawapan untuk meminimakan jarak antaranya dengan Alonso.

Akhirnya Kubica bebas dari Coulthard di pusingan 26 apabila pemandu Scotland itu masuk ke pit.

Davidson dan Barrichello adalah pemandu terakhir untuk melakukan pitstop rutin masing-masing di pusingan 27.

Heidfeld mendapat kelebihan dari pitstop pertama beliau. Kini beliau berada di tempa t kelima di hadapan Rosberg. Kubica juga tidak kurang hebatnya di P8.

Saingan sengit antara Button dan Sato untuk P14 di pusingan 29.

Sementara itu Trulli mencatat masa terbaiknya di pusingan ini. Rakan sepasukannya, Ralf, hampir 3 saat dihadapannya.

Jarak antara Raikkonen dan Massa kini hampir 6 saat. Beliau mendahului Alonso hampir 20 saat di mana berkemungkinan jarak masa tersebut sudah mencukupi untuk Raikkonen masuk dan kembali semula ke pit di hadapan Alonso tanpa sebarang masalah.

Rosberg dan Sutil masuk ke pit untuk pitstop rutin beliau di pusingan 31. Raikkonen juga masuk ke pit pada pusingan yang sama. Tiada sebarang masalah untuk pitstop beliau dan Raikkonen kembali ke litar di belakang Alonso.

Coulthard terpaksa bersara dari perlumbaan di pusingan 32.

Sementara itu Massa dan Trulli masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua masing-masing. Banyak asap dari brake kereta Massa namun tiada sebarang masalah untuk Massa kembali ke litar.

Yamamoto dan Alonso masuk ke pit di pusingan 33. Alonso kembali ke litar di belakang Massa di tempat keempat. Hamilton di tempat kedua.

Masssa mencatat masa terpantas perlumbaan di pusingan 34. Di pusingan ini juga Kubica dan Wurz masing-masing masuk ke pit untuk pitstop terakhir mereka.

Giliran Heidfeld masuk ke pit di pusingan 35. Dalam masa yang sama Massa semakin menghampiri Raikkonen. Adakah Massa mampu merampas kemenangan kali ini dari tangan Raikkonen?

Wurz masuk ke pit sekali lagi di pusingan 36 dan kali ini beliau terus masuk ke garaj Williams. Sampai di sini saja perlumbaan pemandu dari Austria ini.

Mekanik pasukan McLaren bersedia untuk pitstop Hamilton dan pemandu Britain ini masuk ke pit pada pusingan 38 untuk pitstop terakhir beliau. Beliau kembali ke litar di belakang Alonso. Walaupun dengan perubahan strategi Hamilton gagal memintas Alonso untuk tempat ketiga.

Dengan baki 8 pusingan, Kubica kembali mengasak Kovalainen untuk mata terakhir perlumbaan.

Giliran Button mengakhiri perlumbaan beliau apabila beliau kembali ke pit untuk bersara.

Kubica masih mengasak Kovalainen di pusingan 39 dan hampir-hampir bersentuhan di Bus Stop namun Kovalainen masih dapat mengekalkan kedudukan P8 setakat ini.

Dengan baki 4 pusingan Massa mula mengasak Raikkonen namun pastinya Massa tidak akan membuat cubaan untuk memintas teman sepasukanya untuk tempat pertama.

Tempat kelapan masih belum dapat dikenalpasti antara Kovalainen ataupun Kubica.

Dengan baki 2 pusingan Massa hanya 2 saat dibelakang Raikkonen. Hamilton pula mengalami saat yang menakutkan di Pouhon dalam usaha beliau mengejar Alonso namun tiada perubahan berlaku.

Di pusingan terakhir, pemandu Ferrari melakukan formasi akhir untuk melintasi garisan penamat.

Raikkonen memenangi perlumbaan ini dari Massa di tempat kedua!

Ini adalah kemenangan ketiga Raikkonen di Spa-Francorchamps.

Pemandu Ferrari, Raikkonen dan Massa berjaya mengakhiri perlumbaan ini di tempat pertama dan kedua. Dibelakang mereka Alonso juga selesa di tempat ketiga dari Hamilton di tempat keempat. Heidfeld sekali lagi membuktikan beliau antara pemandu terbaik untuk mengakhiri perlumbaan ini di tempat tradisinya musim ini di tempat kelima.

Rosberg di tempat keenam, Webber tujuh dan Kovalainen kekal di hadapan Kubica untuk tempat kelapan.

Selepas penalti yang dikenakan kepada McLaren minggu ini, keputusan perlumbaan Grand Prix Belgium ini bermakna Kejuaraan Pengeluar musim 2007 adalah kepunyaan pasukan Ferrari.

Alonso kini 2 mata sahaja di belakang Hamilton untuk Kejuaraan Pemandu manakala Raikkonen 13 mata. Kejuaraan Pemandu masih lagi terbuka untuk dimenangi. Adakah ia akan menjadi milik Hamilton, Alonso, Raikkonen atau Massa?

Dengan ini berakhirlah ulasan saya untuk perlumbaan Grand Prix Belgium ini. Bersama saya lagi untuk perlumbaan Grand Prix Jepun yang akan berlangsung dua minggu lagi.

Saturday, September 15, 2007

Raikkonen jaguh sessi kelayakan di Spa


Kimi Raikkonen akan mendahului grid di tempat pertama untuk perlumbaan esok selepas beliau menunjukkan aksi yang cukup baik pada sessi kelayakan yang berlangsung hari ini. Raikkonen merampas kedudukan pertama dari saingan terdekatnya Felipe Massa pada pusingan terakhir beliau dengan catatan masa 1:45.994 saat. Ini adalah kedudukan grid hadapan kedua bagi pasukan Ferrari sepanjang musim ini.

Fernando Alonso berjaya meminimakan kesilapan beliau di selekoh Rivage pada pusingan pertamanya di sessi kelayakan Q3 untuk menguasai tempat ketiga terpantas sementara teman sepasukannya Lewis Hamilton jatuh dari P2 ke tempat keempat pada saat-saat terakhir sessi kelayakan.

Robert Kubica mencatat masa kelima terpantas. Walaubagaimana pun beliau akan memulakan perlumbaan di tempat ke-15 esok selepas beliau dikenakan penalti 10 tempat di grid kerana menukar ke enjin baru untuk kereta BMW F1.07 miliknya pagi ini.

Tempat kelima beliau tidak akan diambil oleh teman sepasukannya Nick Heidfeld tetapi akan diserahkan kepada Nico Rosberg yang berjaya menempatkan kereta FW29 miliknya di hadapan Heidfeld.

Mark Webber dari pasukan Red Bull Racing di tempat kelapan dengan Jarno Trulli (Toyota) di tempat kesembilan dan Heikki Kovalainen dari pasukan Renault melengkapkan tempat kesepuluh terpantas untuk sessi kelayakan kali ini.

Pemandu yang terkeluar pada sessi kelayakan 2: Giancarlo Fisichella, Ralf Schumacher, David Coulthard, Jenson Button, Tonio Liuzzi, Alex Wurz

Pemandu yang terkeluar pada sessi kelayakan 1: Sebastian Vettel, Rubens Barrichello, Takuma Sato, Adrian Sutil, Anthony Davidson, Sakon Yamamoto

Friday, September 14, 2007

Alonso terpantas di Spa


Walaupun dengan berita yang McLaren akan dilucutkan dari Kejuaraan Pengeluar musim ini, pasukan ini masih tetap mampu memberi saingan kepada Ferrari. Begitu juga dengan pemandu-pemandunya.

Fernando Alonso membuktikan yang beliau masih tetap fokus pada perlumbaan di Belgium ini apabila beliau mendahului pemandu lain pada sessi latihan kedua dengan catatan masa 1:46.654s. Alonso terus kekal terpantas sebaik sahaja beliau melakukan pusingan pertama untuk sessi ini. Teman sepasukannya, Lewis Hamilton pula hanya berada 0.1 saat dibelakangnya.

Hamilton yang kini masih mendahului Kejuaraan Pemandu agak sukar untuk mencari set-up yang sesuai untuk kereta MP4-22 miliknya. Hamilton berada di tempat keenam pada hampir 90 minit sessi latihan kedua ini sehinggalah pada lima minit terakhir di mana beliau dapat memperbaiki catatan masa yang dicatatkan.

Felipe Massa dari pasukan Ferrari adalah pencabar terdekat pemandu McLaren di tempat ketiga manakala Kimi Raikkonen turun dari posisi pertama pada sessi latihan pertama pagi tadi ke tempat keempat.

Jarno Trulli dan Ralf Schumacher dari pasukan Toyota mencatat masa yang kompetitif pada sessi latihan kedua ini dengan masing-masing di tempat kelima dan keenam.

Kedua-dua pemandu pasukan Renault berjaya menempatkan kereta R27 masing-masing di tempat kesepuluh teratas dengan Giancarlo Fisichella mendahului di tempat ketujuh manakala Heikki Kovalainen di tempat kesepuluh.

Mark Webber juga tidak kurang hebatnya di tempat kelapan dengan Robert Kubica melengkapkan posisi sepuluh terpantas di tempat kesembilan.

Nick Heidfeld berada di tempat ke-11 di hadapan Nico Rosberg. Di tempat ke-13, adalah pemandu kedua dari pasukan Red Bull Racing iaitu David Coulthard yang berhenti di chicane Fagnes pada awal sessi latihan yang disebabkan oleh masalah kotak gear.

Seperti yang dijangkakan, pasukan Honda kurang menyengat di litar yang memerlukan tahap downforce yang tinggi seperti di litar Spa ini dan Jenson Button serta Rubens Barrichello hanya mampu mencatat masa ke-14 dan ke-15 terpantas.

Walaubagaimanapun, pasukan yang semakin menunjukkan peningkatan sejak Monza adalah pasukan Spyker dengan kereta spesifikasi-B terbarunya. Sakon Yamamoto mencatat masa ke-17 terpantas dan sekaligus meletakkan beliau di hadapan kedua-dua pemandu Toro Rosso dan Super Aguri sementara Adrian Sutil berada di tempat ke-20. Namun sessi latihan bagi pemandu muda dari Jerman ini terhenti selepas 24 pusingan apabila beliau terbabas di selekoh Les Combes.

Sunday, September 9, 2007

Monza milik Alonso!


Litar lumba Monza, litar terpantas dalam kalendar Formula 1, dibanjiri ratusan peminat-peminat sukan berprestij ini terutama peminat-peminat pasukan Ferrari yang turun untuk menyokong pasukan pengeluar tempatan ini.

Pasukan McLaren dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlumbaan hari ini dengan Alonso dan Hamilton berada di grid barisan pertama. Felipe Massa akan memulakan perlumbaan di grid barisan kedua bersama-sama Nick Heidfeld dari pasukan BMW Sauber. Kimi Raikkonen yang mengalami kekejangan leher sederhana disebabkan kemalangannya semasa sessi latihan ketiga semalam, berada di grid barisan ketiga.

McLaren sekali lagi berada menjadi bualan hangat di paddock pagi ini apabila majistret Itali telah memaklumkan bahawa pasukan tersebut akan disiasat berkenaan maklumat sulit yang dimilikinya dari Ferrari.

Tetapi ketika ini semua fokus terletak di atas litar lumba Monza untuk 53 pusingan yang akan berlangsung.

Perlumbaan Grand Prix Itali bermula sebaik sahaja kelima-lima lampu merah dinyalakan dengan Alonso mendahului dari Hamilton yang memotong chicane pada selekoh pertama untuk memastikan Massa berada di belakangnya.

Raikkonen memintas Nick Heidfeld untuk tempat keempat sementara Hamilton diasak hebat oleh Massa. Jenson Button kini di petak ke-9, Mark Webber P10. Jarno Trulli pula kehilangan posisi dari 9 ke P12.

Di pusingan ke-2, kemalangan David Coulthard di Curva Grande menyebabkan Safety Car dikeluarkan. Coulthard bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Satu perlumbaan yang singkat untuk pemandu dari Scotland ini!

Pitlane hanya dibuka di pusingan ke-4 namun tiada pemandu yang memilih untuk ke pit kecuali Sebastian Vettel, itu pun sebelum kemalangan berlaku. Kemungkinan pemandu Toro Rosso ini mengalami masalah pada keretanya.

Safety Car dipanggil masuk pada pusingan ke-7.

Alonso masih mendahului perlumbaan walaupun Hamilton cuba memintasnya. Kedua-dua pemandu Ferrari leka dan gagal memberi sebarang asakan kepada pemandu pasukan McLaren.

Massa masuk ke pit untuk pada pusingan ke-10. Ini bukanlah satu pitstop yang dijadualkan untuk Massa. Kelihatan seperti kereta F2007 miliknya menghadapi masalah dan beliau kembali ke pit pada pusingan berikutnya. Nampaknya setakat ini saja perlumbaan pemuda dari Brazil ini. Satu perlumbaan yang mengecewakan baginya apatah lagi jika difikirkan tentang mata terkumpul untuk kejuaraan pemandu yang hilang.

Sementara itu di litar, pemandu McLaren semakin menjarakkan diri dari Raikkonen yang kini di P3. Pemandu Finland itu mula mendapat asakan dari Heidfeld.

Alonso mencatat masa terpantas 1:22.871 untuk perlumbaan ini di pusingan ke-15.

Takuma Sato memintas rakan senegaranya, Sakon Yamamoto untuk P18 di pusingan ke-16. Alexander Wurz juga dipintas oleh Trulli dan kini terdapat barisan kereta di belakang kereta beliau didahului oleh Anthony Davidson dari pasukan Super Aguri,

Jarak antara Alonso dan Raikkonen kini adalah 10 saat.

Hamilton masuk ke pit di pusingan ke-18 dari P2 dan kembali ke litar di P6 tanpa sebarang trafik.

Dengan Hamilton masuk ke pit dahulu ini bermakna ketika sessi kelayakan semalam Alonso membawa lebih banyak minyak berbanding Hamilton. Catatan masa terpantas beliau semalam memang menakjubkan.

Giliran Alonso masuk ke pit pada pusingan ke-20. Beliau, seperti juga teman sepasukannya akan menggunakan strategi 2 pitstop untuk perlumbaan hari ini dan ini adalah pitstop rutin pertamanya. Alonso berjaya mengekalkan kedudukannya di hadapan Hamilton apabila beliau kembali ke litar

Raikkonen kini mendahului perlumbaan.

Nico Rosberg akhirnya berjaya memintas Button untuk P8 di pusingan ke-21 selepas hampir lebih 10 pusingan memberi asakan.

Heidfeld, Heikki Kovalainen dan Adrian Sutil masuk ke pit pada pusingan ke-22. Raikkonen pula mula 'lapping' trafik bermula dengan Yamamoto.

Akhirnya Raikkonen masuk ke pit pada pusingan ke-25 dengan jarak 20 saat dari Alonso. Raikkonen dijangka menggunakan strategi 1 pitstop dan jika benar beliau mungkin akan memberi masalah kepada kedua-dua pemandu McLaren. Tidak mustahil kini untuk beliau memenangi perlumbaan hari ini apatah lagi dengan McLaren menggunakan 2 pitstop strategi. Ini adalah salah satu jawapan Ferrari bagi kepantasan serta dominasi kereta McLaren sepanjang minggu ini. Raikkonen kembali ke litar di P3.

Giancarlo Fisichella memintas Davidson untuk P13 di pusingan ke-27.

Ramai juga pemandu lain yang masih belum masih ke pit untuk pitstop rutin mereka. Jelas sekali mereka juga akan menggunakan strategi 1 pitstop untuk perlumbaan ini.

Rosberg dan Trulli masuk ke pit pada pusingan ke-31.

Ralf Schumacher dan Vettel pula masuk ke pit pada pusingan-32. Ini adalah pitstop kali kedua bagi Vettel namun ia adalah pitstop rutin pertama beliau.

Raikkonen kehilangan hampir 1 saat untuk 1 pusingan kepada McLaren ketika ini.

Button masuk ke pit pada pusingan ke-34 dari P6. Begitu juga dengan Fisichella. Pada pusingan ke seterusnya, giliran Rubens Barrichello, Sato dan Webber pula untuk melakukan pitstop rutin mereka.

Raikkonen perlu berada dalam jarak 30 saat diantaranya dengan pemandu McLaren jika beliau mahu memintas mereka apabila mereka masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua masing-masing.

Alexander Wurz adalah pemandu terakhir untuk masuk ke pit pada pusingan ke-38.

Pada pusingan ke-40, Alonso semakin menjarakkan keretanya dari teman sepasukan, Hamilton. Kini perbezaan masa antara mereka adalah 6 saat.

Hamilton masuk ke pit pada pusingan ke-41 dengan beza 23 saat antaranya dengan Raikkonen. Beliau gagal mendapatkan kedudukannya kembali apabila Raikkonen memintasnya sebaik sahaja beliau keluar dari pitlane.

Mampukah Raikkonen melakukan perkara yang sama kepada Alonso nanti?

Hamilton walaubagaimanapun tidak berputus asa dan mula memberi asakan kepada Raikkonen di pusingan ke-42 dan pada pusingan berikutnya, beliau berjaya mendapakan semula P2 dari Raikkonen apabila beliau memintas pemandu Finn tersebut pada selekoh pertama. Satu pemanduan yang berani oleh pemandu Britain ini. Raikkonen tidur sekali lagi?

Alonso masuk ke pit pada pusingan ke-44 dan beliau kekal mendahului perlumbaan dengan Hamilton di belakangnya.

Walau dengan strategi yang baik oleh pasukan Ferrari, mereka tidak mampu untuk melakukan apa-apa dengan pemanduan cemerlang yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemandu McLaren. Berkemungkinan juga kereta Raikkonen menghadapapi sedikit masalah kerana catatan masanya yang perlahan berbanding catatan masanya sebelum ini. Beliau semakin cepat menggunakan brake pada setiap selekoh.

Litar Monza memang terkenal dengan isu brake kerana bukan sahaja set-up kereta low down-force diperlukan malah kereta juga selalunya menggunakan brake yang berlebihan di litar ini. Ini memberikan tekanan yang lebih kepada brake-disc kereta.

Button masih di P8 pada pusingan ke-46 dan kelihatan set untuk mendapatkan mata kedua untuk pasukan Honda musim ini.

Kelihatannya seperti Alonso tiada sebarang masalah untuk mengawal perlumbaan. Jika keadaan kekal sepertimana ia sekarang, beliau akan memintas 2 lagi mata dari Hamilton untuk Kejuaraan Pemandu, menjadikan beza hanya 3 mata antara dua pemandu ini.

Di pusingan ke-50, Kubica masih tidak mengaku kalah untuk mengejar teman sepasukannya, Heidfeld, di P4 ketika ini apabila beliau memintas Rosberg untuk P5. Beza masa antara kedua pemandu ini adalah lebih kurang 11 saat sahaja.

McLaren menang 1-2 di Monza. Satu kemenangan yang manis tentunya untuk pasukan ini dan kemenangan yang lebih manis untuk Alonso. Raikkonen terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Satu perlumbaan yang mengecewakan untuk pasukan Ferrari apatah lagi di hadapan peminat sendiri di negara sendiri.

Satu lagi persembahan mantap bagi pasukan BMW Sauber dengan Heidfeld dan Kubica masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Rosberg mengakhiri perlumbaan di tempat keenam untuk pasukan WilliamsF1. Kovalainen di tempat ketujuh dengan Button mengumpul mata terakhir perlumbaan di tempat kelapan.

Nampaknya kejuaraan pemandu menjadi semakin menarik sementara McLaren semakin menjarakkan diri dari pasukan Ferrari untuk kejuaraan pengeluar. Kini McLaren mendahului 23 mata.

Bertemu lagi kita pada minggu hadapan untuk Grand Prix kegemaran saya, di Spa-Francorchamps!

Saturday, September 8, 2007

Alonso mendominasi sessi kelayakan di Monza


Fernando Alonso telah memulakan langkah pertamanya untuk mengecapi kemenangan di Monza esok apabila beliau mendominasi sepenuhnya sessi kelayakan hari ini. Juara dunia ini mempamerkan tahap pemanduan yang cemerlang berbanding teman sepasukannya Lewis Hamilton yang sering mendahuluinya sepanjang musim ini. Hamilton terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Pasukan Ferrari gagal memberikan sebarang saingan kepada pasukan McLaren namun mereka berkemungkinan menggunakan strategi yang berlainan untuk perlumbaan Grand Prix Itali kali ini. Felipe Massa berada 0.6s di belakang Alonso di tempat ketiga.

Pemandu BMW, Nick Heidfeld akan memulakan perlumbaan esok di tempat keempat selepas berjaya menumpaskan Kimi Raikkonen. Pemandu dari Finland tersebut tidak berjaya mengulangi persembahan baik beliau di sessi latihan 1 apabila terpaksa menggunakan T-car selepas kemalangannya di sessi latihan pagi tadi. Beliau kini mempunyai tugasan yang agak berat untuk mengekalkan harapan bagi memenangi kejuaraan dunia tahun ini.

Robert Kubica berada di tempat keenam untuk pasukan BMW dengan Heikki Kovalainen daripada pasukan Renault di tempat ketujuh dan Nico Rosberg menempatkan kereta Williams miliknya di tempat kelapan.

Pemandu Toyota yang berasal dari Itali, Jarno Truli akan memulakan perlumbaan di tempat kesembilan. Jenson Button melengkapkan tempat kesepuluh teratas untuk kali kedua musim ini bagi pasukan Honda.

Pemandu yang terkeluar pada sessi kelayakan 2: Mark Webber ,Rubens Barrichello, Alex Wurz, Anthony Davidson, Giancarlo Fisichella, Sebastian Vettel
Pemandu yang terkeluar pada sessi kelayakan 1:
Takuma Sato, Ralf Schumacher, Tonio Liuzzi, David Coulthard, Adrian Sutil, Sakon Yamamoto



Friday, September 7, 2007

McLaren mengungguli di sessi latihan kedua di Monza


Fernando Alonso mendominasi sessi latihan kedua untuk Grand Prix Itali hari ini sementara teman sepasukannya Lewis Hamiton di tempat kedua.

Musuh McLaren, pasukan Ferrari, lebih banyak menghabiskan masa sessi latihan mereka memperbaiki kereta Kimi Raikonen yang mengalami masalah hidraulik. Kimi mengakhiri sessi latihan di tempat ke lapan. Masa terpantas beliau untuk sessi latihan pertama hanya lebih kurang 0.1 saat lebih perlahan dari masa terpantas Alonso iaitu 1m22.386s.

Ini jelas membayangkan persaingan yang sengit antara kedua-dua pasukan ini.

Walau bagaimanapun, persembahan Alonso tengahari ini memang sangat baik dengan 0.8s lebih pantas dari Hamilton manakala lebih dari 1 saat lebih pantas dari pemandu-pemandu yang lain.

Harapan Ferrari terletak pada Felipe Massa untuk mengatasi McLaren namun pemandu Brazil ini lebih berminat untuk mencuba tempat sasar baru di Variante della Roggia apabila beliau tersasar tiga kali di tempat yang sama. Beliau juga turut berpusing di chicane yang sama memaksa Alonso mengelaknya. Massa mencatat masa ke enam terpantas.

Pemandu asal Itali, Giancarlo Fisichella tidak melepaskan peluang yang ada untuk menempatkan kereta Renault di tempat ketiga. Beliau berharap persembahannya hari ini dapat meyakinkan Renault untuk meneruskan kontraknya bagi tahun 2008.

Robert Kubica menduduki tempat ke empat untuk pasukan BMW Sauber. Beliau berada di hadapan Nico Rosberg yang sentiasa konsisten dengan persembahannya musim ini.

Nick Heidfeld di tempat ke tujuh sementara Raikkonen, Heikki Kovalainen dan Alexander Wurz melengkapkan tempat ke sepuluh teratas untuk sessi latihan kedua hari ini.



Tuesday, September 4, 2007

Same old same old with Super Aguri


Both Takuma Sato and Anthony Davidson do not have to worry about their Formula One career, at least not for another year. Reportedly, Super Aguri will keep both of their current drivers for next year's championship.

"We are very confident with our drivers hence the decision. It is our aim to continue with their services next year," says Aguri Suzuki, Super Aguri managing director, to Autosport yesterday.

The decision came after the team evaluated and take into consideration their overall performances and contributions so far this season.

"Anthony has shown tremendous improvements with his driving style. He always quick in qualifying and during the race, his results are getting better as well," added Aguri.

As for Sato, he has lots of experience under his belt. This can be seen during the race where he usually moved up several places at the start of the race.

The big question mark on who will be driving for the team in 2008 has been answered. Sato will continue to fill in the first driver seat. Although no official announcement has been made yet, Davidson outstanding performance so far has sealed his future with the team.

According to Audetto, Davidson's contract is ready and just needed to be signed to make it legal even though he still hasn't score any point this season.

Monday, September 3, 2007

Hala tuju Alonso


Adalah sedia maklum kedudukan Alonso di McLaren sekarang ini tidak seperti yang diharapkannya ketika beliau mula-mula menandatangani perjanjian dengan pasukan British ini.

Pemandu yang berasal dari Sepanyol ini berharap agar McLaren dapat membantunya memenangi Kejuaraan Pemandu untuk kali ketiga berturut-turut namun kini menurut beliau berasa kurang selesa kerana merasa dirinya tidak dihargai.

"Saya masih ingat kereta yang saya pandu ketika saya masuk ke pasukan ini Disember lalu. Begitu juga dengan keputusan keseluruhan mereka tahun lalu. Kereta yang saya pandu pada hari ini adalah setengah saat lebih pantas dan itu adalah hasil dari usaha saya tapi saya tidak melihat sebarang balasan dari usaha saya itu," ujar beliau lagi ketika ditemuramah oleh BBC Radio seperti yang dilaporkan oleh Autosport.

Walaupun Alonso masih tiada sebarang rencana untuk menamatkan kontrak dua tahun perjanjiannya dengan pasukan itu, Flavio Briatore yang sebelum ini ketua beliau di pasukan Renault sudah bersuara dan bersedia untuk menyambut kembali Alonso ke pasukannya jika beliau menginginkannya.

Renault telah memenangi dua kali Kejuaraan Pengeluar terima kasih kepada Alonso dan sekiranya Alonso kembali ke pangkuan mereka, mereka berharap untuk mengungguli Kejuaraan tersebut sekali lagi. Meski pun begitu Flavio menegaskan bahawa Alonso seorang bukanlah satu jaminan kejayaan.

Bagi Alonso pula, kini fokusnya hanya pada Kejuaraan Pemandu dengan hanya 5 mata di belakang Hamilton dan bukan berfikir tentang soal masa depannya.