Saturday, October 6, 2007

Masih ada harapan untuk Alonso dan Raikkonen di Brazil


Selamat datang ke Grand Prix China. Seperti yang telah diramal, kita akan menyaksikan perlumbaan dalam keadaan hujan sekali lagi. Adakah keputusan perlumbaan akan berpihak kepada Lewis Hamilton sepertimana di Jepan minggu lalu?

Jika Hamilton berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Fernando Alonso hari ini, beliau akan bergelar juara dunia rookie pertama dalam sejarah Formula One. Oleh itu kita mungkin akan melihat Hamilton lebih berhati-hati di perlumbaan kali ini berbanding dengan teman sepasukannya, apatah lagi apabila beliau terpaksa memulakan perlumbaan dari tempat keempat. Mampukah Alonso menghalang kemaraan Hamilton untuk merampas gelaran juara dari tangannya tahun ini?

Atau mampukah Kimi Raikkonen merampas segalanya dari tangan kedua-dua pemandu McLaren itu? Semuanya akan terjawab dengan nyalanya kelima-lima lampu merah menandakan perlumbaan di Shanghai telah bermula.

Hamilton mendahului daripada Raikkonen di selekoh pertama. Alonso memintas Massa dari luar namun Massa mengambil semula tempatnya di selekoh enam.

Permulaan Ralf Schumacher tidak seperti yang diharapkannya apabila beliau terbabas dari litar. Kini beliau di tempat terakhir dari tempat keenam.

Sebastian Vettel kini di P12 dari P17. Teman sepasukannya, Tonio Liuzzi, juga tidak kurang hebatnya kini di P7 dari P11.

Terdapat sedikit pelanggaran antara Rubens Barrichello dan Takuma Sato namun masing-masing dapat kembali semula ke litar tanpa sebarang masalah yang serius.

Alonso masih memburu tempat ketiga dan memberi tekanan kepada Massa di pusingan 4. Mark Webber juga cuba untuk mendapatkan kembali P7 dari Liuzzi.

Liuzzi berjaya memintas Nick Heidfeld untuk P5 di pusingan 5. Nico Rosberg juga memintas Giancarlo Fisichella untuk P16 sebelum memintas teman sepasukannya Alexander Wurz untuk P15. Kompaun tayar 'softer' lebih berkesan dalam keadaan basah ini. Semantara itu Hamilton semakin menjarakkan diri dari Raikkonen di tempat kedua.

Hamilton mencatat masa terpantas di pusingan 7. Kini jarak antaranya dengan Raikkonen adalah 4 saat. Beliau satu saat lebih pantas dalam satu pusingan berbanding pemandu-pemandu lain.

Vettel memintas Heikki Kovalainen untuk P10 di pusingan 8 dan Rosberg memintas Sato untuk P14.

Jarno Trulli memintas Kovalainen untuk P11 di pusingan 9. Kovalainen dijangka mempunyai sedikit masalah 'understeer' dengan kereta R27 miliknya. Kini Button pula mula memberi tekanan kepadanya.

Red Bull Racing menjangkakan hujan yang lebih lebat akan turun dan mengarahkan Webber untuk memelihara tayar dalam keadaan litar yang semakin mengering.

Kebanyakan pemandu mengambil laluan lumba yang lebih basah untuk memelihara tayar masing-masing.

Di pusingan ke 12, Kovalainen mendapat tekanan bukan sahaja dari Button malah dari Rosberg juga sementara itu Schumacher telah memintas Wurz untuk P15.

Anthony Davidson berhenti di tepi litar. Beliau bersara dari perlumbaan di pusingan 13.

Schmacher juga turut mengambil tempat di belakang Rosberg untuk memintas Kovalainen.

Rosberg berjaya memintas Button untuk P13 di pusingan 15.

Hamilton masuk ke pit di pusingan yang sama untuk melakukan pitstop rutin pertama beliau. Selepas melihat keadaan tayar masih dalam keadaan yang baik, Hamilton membuat keputusan untuk tidak menukar tayar keretanya. Beliau kembali ke litar di hadapan David Coulthard di P4 sementara Raikkonen mengetuai perlumbaan.

Raikkonen tidak membuang masa dan terus mencatat masa terpantas perlumbaan.

Kovalainen melakukan kesilapan kecil di pusingan 17 membenarkan Rosberg memintasnya untuk P12.

Massa pemandu Ferrari pertama masuk ke pit untuk pitstop rutin beliau. Seperti Hamilton, beliau juga tidak menukar tayar kereta F2007 miliknya.

Di pusingan 18, giliran Schumacher pula memintas Kovalainen.

Raikkonen mencatat masa terpantas sekali lagi untuk memastikan beliau dapat menghapuskan jarak masa yang telah dibina oleh Hamilton.

Alonso masuk ke pit di pusingan 19. Beliau juga mengekalkan tayar keretanya. Beliau kembali ke litar di belakang Massa.

Raikkonen juga masuk ke pit di pusingan yang sama. Nampaknya kesemua empat pemandu teratas menggunakan strategi yang sama kerana Raikkonen juga tidak menukar tayar keretanya. Raikkonen kembali ke litar di belakang Hamilton yang mengambil semula kedudukan pertama dari beliau.

Coulthard dan Liuzzi masuk ke pit di pusingan ke 20 untuk pitstop rutin masing-masing.

Hamilton mencatat masa terpantas di pusingan 23. Kini beliau mendahului 5 saat Raikkonen.

Schumacher memintas Rosberg selepas hampir 3 pusingan memberi tekanan kepada pemandu Williams tersebut. Namun beliau terbabas di pusingan 24 apabila beliau cuba memintas Liuzzi untuk P11. Beliau kembali ke pit untuk melihat jika terdapat sebarang kerosakan pada keretanya.

Wurz masuk ke pit dan memilih untuk menggunakan tayar 'dry'. Sebaik sahaja beliau kembali ke litar, beliau terus mencatat masa terpantas. Nampaknya pilihan pasukan Williams menukar tayar membawa kesan yang memberangsangkan.

Giliran Kubica dan Trulli masuk ke pit di pusingan 26. Jelas sekali tayar 'dry' adalah pilihan yang paling tepat ketika ini kerana keadaan litar yang semakin kering.

Alonso berjaya memintas Massa di pusingan ke 27. Massa segera masuk ke pit di pusingan yang sama untuk menukar tayar keretanya. Namun kelihatan hujan mula turun sekali lagi. Adakah pilihan ini pilihan yang untuk pasukan Ferrari?

Hamilton melakukan kesilapan di pusingan 28 namun beliau berjaya menghalang Raikkonen dari memintasnya untuk P1. Hamilton kelihatan kurang berkeyakinan dengan keretanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini.

Raikkonen akhirnya berjaya memintas Hamilton di pusingan 29! Hamilton melakukan kesilapan sekali lagi di selekoh 9 dan Raikkonen tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Alonso semakin menghampiri Hamilton. Beliau 7 saat lebih pantas dari Hamilton di pusingan lepas.

Dan di pusingan 31 sekali lagi Hamilton melakukan kesilapan! Beliau benar-benar mempunyai masalah dengan cengkaman tayar. Dalam perjalanan beliau ke pit, beliau terbabas di perangkap 'gravel' dan marshal yang ada tidak dapat mengeluarkan kereta beliau dari perangkap tersebut. Nampaknya beliau tidak akan dinobatkan sebagai juara tengahari ini...

Raikkonen masuk ke pit di pusingan 33. Alonso juga sama.

Kini Kubica dari pasukan BMW Sauber mendahului perlumbaan namun di pusingan 34 Kubica berhenti di tepi litar kerana masalah teknikal pada kereta BMW F1.07 miliknya.

Button memintas Vettel untuk P4 di pusingan 35 sementara Alonso mencatat masa terpantas perlumbaan dalam cubaan beliau mengejar Raikkonen untuk P1. Raikkonen walaubagaimanapun tidak berpeluk tubuh dan mencatat masa terpantas di pusingan seterusnya.

Button tidak mahu ketinggalan lalu mencatat masa terpantas di pusingan 38.

Wurz masuk ke pit untuk pitstop terakhir beliau. Saya difahamkan bahawa pemandu dari Austria ini akan bersara pada akhir musim ini.

Fisichella memintas Liuzzi untuk P6 dan mencatat masa terpantas di pusingan 40 dek kerana keadaan litar yang semakin mengering.

Dengan kekecewaan Toro Rosso di Jepun minggu lalu, kali ini kedua-dua pemandu pasukan ini mempunyai peluang yang baik untuk mendapatkan beberapa mata perlumbaan. Ketika ini Vettel di P4 dan Liuzzi di P7.

Raikkonen mencatat masa terpantas baru di pusingan 44. Beliau mendahului Alonso sebanyak 8.5 saat.

Heidfeld pula mula memberi tekanan kepada Liuzzi untuk P7.

Fisichella pit di pusingan 46 dari P5.

Liuzzi masih dapat mengekalkan kedudukannya di P6 selepas 5 pusingan Heidfeld cuba memintasnya.

Persaingan masih sengit. Kovalainen memintas Webber untuk P9 di pusingan 49. Kini beliau mengejar Coulthard untuk mata terakhir perlumbaan.

Jarak antara Raikkonen dan Alonso kini lebih 10 saat walaubagaimanapun Alonso masih tidak berputus asa mengejar pemandu Finn di hadapannya apabila dia dan Raikkonen saling bertukar catatan masa terpantas.

Massa mencatat masa terpantas di pusingan 54.

Vettel yang melakukan strategi 1 pitstop diarahkan oleh pasukannya untuk menjimatkan minyak kerana Button berada 17 saat dibelakangnya di P5.

Raikkonen melintasi garisan penamat di tempat pertama sekaligus mencipta sejarah bagi pasukan Ferrari. Ini ada kemenangan kali ke-200 untuk pasukan Itali ini. Raikkonen menamatkan perlumbaan dengan jarak 10 saat kekal di hadapan Alonso. Massa mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.

Satu perlumbaan yang begitu baik untuk Vettel. Dengan keputusan P4 hari ini, beliau dapat menghapuskan rasa sangsi orang ramai terhadap kebolehannya selepas insiden di Jepun minggu lalu. Bukan sahaja beliau dapat mengalahkan teman sepasukannya yang memulakan perlumbaan di P11, malah beliau telah memulakan perlumbaan hari ini di P17 selepas dikenakan denda 5 grid penalti selepas menghalang Kovalainen di sessi kelayakan Q2 semalam. Satu keputusan yang membanggakan untuk pemandu muda dari Jerman ini.

Button mengambil tempat kelima untuk pasukan Honda dan Liuzzi di tempat keenam. Heidfeld di tempat ketujuh dan Coulthard berjauya mengekalkan kedudukan P8 dari Kovalainen.

Dengan Raikkonen dan Alonso mengakhiri perlumbaan ini masing-masing di tempat pertama dan kedua, dan dengan Hamilton yang telah terkeluar, ini bermakna ketentuan juara dunia tahun ini akan ditentukan di perlumbaan terakhir musim ini iaitu di Sao Paulo, Brasil di mana beza mata antara ketiga-tiga pemandu ini ialah 7 mata: Hamilton 107, Alonso 103 dan Raikkonen 100.

Pastikan anda bersama saya untuk perlumbaan di Brasil kelak!

No comments: