Wednesday, October 24, 2007

10 tahun pembekuan untuk pembangunan enjin

Pembangunan enjin untuk Formula 1 akan dibekukan untuk tempoh masa 10 tahun bermula dari tahun 2008. Persetujuan ini dicapai berikutan perjumpaan FIA Motor Sports World Council pada hari Rabu.

Tujuan badan yang bertanggungjawab tersebut adalah dikatakan untuk mempromosikan cara yang lebih mesra alam serta mencari cara alternatif bagi meningkatkan persembahan kereta-kereta Formula 1.

Pembangunan yang telah dijalankan untuk enjin berkuasa V8 telah dihadkan sejak 2007, walaupun sesetengah pengubahsuaian dibenarkan selagi ia masih mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Walaubagaimanapun, bermula dari tahun depan semua pengubahsuaian dilarang. Namun selepas lima tahun, ubahsuai boleh dilakukan dengan syarat semua pihak bersetuju diikuti jangka masa pemberitahuan selama dua tahun.

Pembekuan sepenuhnya ini bermaksud bahawa tiada pengecualian dalam pembangunan beberapa bahagian enjin, seperti yang dibenarkan dalam peraturan sekarang ini.

Pada satu ketika dulu, Formula 1 dijangka akan menggunakan enjin berkuasa turbo, 1.4 liter, yang digabungkan dengan penggunaan teknologi KERS. Tetapi sekarang FIA membuat keputusan untuk mengekalkan kestabilan enjin, dan dalam masa yang sama menggalakkan pengeluar-pengeluar mencari kelebihan untuk persembahan enjin masing-masing melalui KERS.

Pengeluar-pengeluar utama dalam Formula 1 memberi cadangan kepada Max Mosley, presiden FIA, awal bulan ini, di mana mereka mahukan enjin V8 2.4 liter yang digunakan sekarang dikekalkan sehingga 2009, dan kemudian melakukan modifikasi supaya enjin-enjin tersebut boleh digunakan untuk empat perlumbaan dengan menggunakan teknologi KERS serta meningkatkan penggunaan minyak dengan cara yang lebih efisyen. Walaubagaimanapun, cadangan tersebut ditolak oleh FIA dan mereka kemudian mencadangkan agar peraturan enjin sekarang digunakan sehingga 2017.

Pengeluar-pengeluar enjin dikatakan ingin meminta sokongan dari pasukan-pasukan persendirian dalam Formula 1 sebelum memberikan semula cadangan mereka semula kepada FIA.



No comments: