Sunday, September 16, 2007

Raikkonen menang lagi di Spa


Bertemu kembali kita untuk perlumbaan yang dinantikan ramai, Grand Prix Belgium di Spa-Francorschamp. Perlumbaan kali ini diselubungi kisah McLaren yang dikecualikan dari Kejuaraan Pengeluar tahun ini serta denda sebanyak $100 juta kerana mempunyai maklumat sulit pasukan Ferrari dalam simpanan mereka. Pengecualian dan denda tersebut diberikan selepas bukti baru dikemukakan dalam bentuk e-mail oleh Pedro De La Rosa dan Fernando Alonso.

Walaubagimanapun, kedua-dua pemandu McLaren dibenarkan untuk terus bersaing bagi merebut Kejuaraan Pemandu tahun ini.

Kita letak semua kisah ini di belakang kita buat sementara waktu dan berikan tumpuan sepenuhnya untuk perlumbaan yang akan berlangsung.

Perlumbaan hari ini bermula dengan kedua-dua pemandu Ferrari di barisan hadapan grid dengan Kimi Raikkonen di petak pertama dan Felipe Massa di petak kedua. Alonso dan Lewis Hamilton pula berada di belakang kedua pemandu Ferrari ini di grid kedua.

Robert Kubica akan memulakan perlumbaan beliau di tempat ke-14 selepas kereta beliau menukar enjin baru semalam seperti juga Giancarlo Fisichella. Pasukan Renault memilih untuk memulakan perlumbaan beliau dari pit lane. Begitu juga dengan Anthony Davidson untuk pasukan Super Aguri.

Tiada sebarang masalah untuk Raikkonen mendahului perlumbaan dari Massa sebaik sahaja kelima-lima lampu merah dinyalakan.

Hamilton terbabas di Eau Rouge ketika bersaing dengan teman sepasukannya untuk posisi ketiga. Alonso berjaya mendapatkan kedudukan tersebut.

Kesemua pemandu dapat melepasi La Saurce tanpa sebarang drama.

Kovalainen naik dari tempat kesembilan, kini di tempa keenam sementara Nick Heidfeld pula jatuh pada tempat kelapan.

Fisichella terpaksa ditolak masuk ke dalam pit pada pusingan 2. Kelihatan seperti perlumbaan beliau tamat untuk hari ini.

Kubica setakat ini melakukan satu tugasan yang baik memintas kereta dihadapannya. Pada pusingan 4 beliau di tempat ke-10.

Teman sepasukannya, Heidfeld memintas Heikki Kovalainen untuk P7 di pusingan 5. Takuma Sato mengambil P17 dari Rubens Barrichello.

Di pusingan 6 Alonso masih konsisten lebih perlahan setengah saat dari kereta Ferrari di hadapannya.

Raikkonen mencatat masa terpantas perlumbaan di pusingan 7. Pemandu Finland ini semakin menjarakkan diri dari Massa.

Kubica pula berjaya memintas dua lagi kereta di hadapannya dan kini sedang berusaha untuk memintas Kovalainen untuk P8.

Vettel masuk ke pit pada pusingan 8 dan sekali lagi pada pusingan seterusnya. Kali ini beliau terus masuk ke garaj Toro Rosso.dan mekanik pasukan tersebut terus mengerumuni kereta STR2 miliknya untuk memperbaiki masalah yang timbul.

Raikonen menjarakkan lagi dirinya dengan Massa dan perbezaan antara mereka hampir 1 saat untuk setiap pusingan. Massa kini 4 saat dibelakang Raikkonen di akhir pusingan 11.

Kubica akhirnya berjaya memintas Kovalainen di pusingan 12 untuk P8. Beliau memintas pemandu Finland itu di Bus Stop, satu pintasan yang berani dari pemandu Poland ini.

Di pusingan 15, Nico Rosberg dan Webber masuk ke pit. Begitu juga dengan Raikkonen dan Alonso.

Massa kini mendahului perlumbaan.

Kubica masuk ke pit pada pusingan berikutnya. Pasukan Ferrari dan McLaren juga bersedia untuk pitstop pemandu mereka seterusnya.

Massa dan Hamilton masuk pe pit pada pusingan 17. Pasukan McLaren meletakkan minyak yang banyak pada kereta Hamilton dan dijangka stint kedua beliau akan lebih lama dari Alonso dan kedua-dua pemandu Ferrari. Mampukah perubahan strategi ini memberi keputusan yang lebih baik kepada Hamilton?

Kedudukan empat teratas masih kekal dengan Raikkonen mendahului dari Massa, Alonso dari Hamilton.

Bagi pemandu yang masih belum masuk ke pit untuk pitstop rutin mereka, berkemungkinan mereka menggunakan strategi 1 pitstop untuk perlumbaan ini.

Di pusingan 19, giliran Heidfeld masuk ke pit.

Kubica benar-benar bersemangat ketika ini memintas satu kereta demi satu kereta di hadapannya. Kini giliran David Coulthard menerima asakannya di pusingan 20.

Ralf Schumacher masuk ke pit di pusingan 21 diikuti oleh Sato dan Alexander Wurz di pusingan 22.

Kovalainen juga masuk ke pit dari P6 di pusingan 23. Ini adalah pitstop terakhir bagi beliau jika semua berjalan dengan baik. Beliau kembali ke litar di belakang Kubica di P10.

Pemandu yang masih belum masuk ke pit untuk pitstop rutin masing-masing ketika ini ialah Coulthard, Jenson Button, Vitantonio Liuzzi, Barrichello dan Davidson.

Ferrari masih mendahului perlumbaan ini di pusingan 24. Pasukan McLaren nampaknya tidak dapat memberi sebarang respon dengan persembahan Ferrari minggu ini.

Button dan Liuzzi masuk ke pit di pusingan 25 untuk pitstop pertama dan terakhir mereka.

Ketika ini jarak Hamilton semakin jauh dari tiga pemandu di hadapannya. Beliau tiada sebarang jawapan untuk meminimakan jarak antaranya dengan Alonso.

Akhirnya Kubica bebas dari Coulthard di pusingan 26 apabila pemandu Scotland itu masuk ke pit.

Davidson dan Barrichello adalah pemandu terakhir untuk melakukan pitstop rutin masing-masing di pusingan 27.

Heidfeld mendapat kelebihan dari pitstop pertama beliau. Kini beliau berada di tempa t kelima di hadapan Rosberg. Kubica juga tidak kurang hebatnya di P8.

Saingan sengit antara Button dan Sato untuk P14 di pusingan 29.

Sementara itu Trulli mencatat masa terbaiknya di pusingan ini. Rakan sepasukannya, Ralf, hampir 3 saat dihadapannya.

Jarak antara Raikkonen dan Massa kini hampir 6 saat. Beliau mendahului Alonso hampir 20 saat di mana berkemungkinan jarak masa tersebut sudah mencukupi untuk Raikkonen masuk dan kembali semula ke pit di hadapan Alonso tanpa sebarang masalah.

Rosberg dan Sutil masuk ke pit untuk pitstop rutin beliau di pusingan 31. Raikkonen juga masuk ke pit pada pusingan yang sama. Tiada sebarang masalah untuk pitstop beliau dan Raikkonen kembali ke litar di belakang Alonso.

Coulthard terpaksa bersara dari perlumbaan di pusingan 32.

Sementara itu Massa dan Trulli masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua masing-masing. Banyak asap dari brake kereta Massa namun tiada sebarang masalah untuk Massa kembali ke litar.

Yamamoto dan Alonso masuk ke pit di pusingan 33. Alonso kembali ke litar di belakang Massa di tempat keempat. Hamilton di tempat kedua.

Masssa mencatat masa terpantas perlumbaan di pusingan 34. Di pusingan ini juga Kubica dan Wurz masing-masing masuk ke pit untuk pitstop terakhir mereka.

Giliran Heidfeld masuk ke pit di pusingan 35. Dalam masa yang sama Massa semakin menghampiri Raikkonen. Adakah Massa mampu merampas kemenangan kali ini dari tangan Raikkonen?

Wurz masuk ke pit sekali lagi di pusingan 36 dan kali ini beliau terus masuk ke garaj Williams. Sampai di sini saja perlumbaan pemandu dari Austria ini.

Mekanik pasukan McLaren bersedia untuk pitstop Hamilton dan pemandu Britain ini masuk ke pit pada pusingan 38 untuk pitstop terakhir beliau. Beliau kembali ke litar di belakang Alonso. Walaupun dengan perubahan strategi Hamilton gagal memintas Alonso untuk tempat ketiga.

Dengan baki 8 pusingan, Kubica kembali mengasak Kovalainen untuk mata terakhir perlumbaan.

Giliran Button mengakhiri perlumbaan beliau apabila beliau kembali ke pit untuk bersara.

Kubica masih mengasak Kovalainen di pusingan 39 dan hampir-hampir bersentuhan di Bus Stop namun Kovalainen masih dapat mengekalkan kedudukan P8 setakat ini.

Dengan baki 4 pusingan Massa mula mengasak Raikkonen namun pastinya Massa tidak akan membuat cubaan untuk memintas teman sepasukanya untuk tempat pertama.

Tempat kelapan masih belum dapat dikenalpasti antara Kovalainen ataupun Kubica.

Dengan baki 2 pusingan Massa hanya 2 saat dibelakang Raikkonen. Hamilton pula mengalami saat yang menakutkan di Pouhon dalam usaha beliau mengejar Alonso namun tiada perubahan berlaku.

Di pusingan terakhir, pemandu Ferrari melakukan formasi akhir untuk melintasi garisan penamat.

Raikkonen memenangi perlumbaan ini dari Massa di tempat kedua!

Ini adalah kemenangan ketiga Raikkonen di Spa-Francorchamps.

Pemandu Ferrari, Raikkonen dan Massa berjaya mengakhiri perlumbaan ini di tempat pertama dan kedua. Dibelakang mereka Alonso juga selesa di tempat ketiga dari Hamilton di tempat keempat. Heidfeld sekali lagi membuktikan beliau antara pemandu terbaik untuk mengakhiri perlumbaan ini di tempat tradisinya musim ini di tempat kelima.

Rosberg di tempat keenam, Webber tujuh dan Kovalainen kekal di hadapan Kubica untuk tempat kelapan.

Selepas penalti yang dikenakan kepada McLaren minggu ini, keputusan perlumbaan Grand Prix Belgium ini bermakna Kejuaraan Pengeluar musim 2007 adalah kepunyaan pasukan Ferrari.

Alonso kini 2 mata sahaja di belakang Hamilton untuk Kejuaraan Pemandu manakala Raikkonen 13 mata. Kejuaraan Pemandu masih lagi terbuka untuk dimenangi. Adakah ia akan menjadi milik Hamilton, Alonso, Raikkonen atau Massa?

Dengan ini berakhirlah ulasan saya untuk perlumbaan Grand Prix Belgium ini. Bersama saya lagi untuk perlumbaan Grand Prix Jepun yang akan berlangsung dua minggu lagi.

No comments: