Monday, September 3, 2007

Hala tuju Alonso


Adalah sedia maklum kedudukan Alonso di McLaren sekarang ini tidak seperti yang diharapkannya ketika beliau mula-mula menandatangani perjanjian dengan pasukan British ini.

Pemandu yang berasal dari Sepanyol ini berharap agar McLaren dapat membantunya memenangi Kejuaraan Pemandu untuk kali ketiga berturut-turut namun kini menurut beliau berasa kurang selesa kerana merasa dirinya tidak dihargai.

"Saya masih ingat kereta yang saya pandu ketika saya masuk ke pasukan ini Disember lalu. Begitu juga dengan keputusan keseluruhan mereka tahun lalu. Kereta yang saya pandu pada hari ini adalah setengah saat lebih pantas dan itu adalah hasil dari usaha saya tapi saya tidak melihat sebarang balasan dari usaha saya itu," ujar beliau lagi ketika ditemuramah oleh BBC Radio seperti yang dilaporkan oleh Autosport.

Walaupun Alonso masih tiada sebarang rencana untuk menamatkan kontrak dua tahun perjanjiannya dengan pasukan itu, Flavio Briatore yang sebelum ini ketua beliau di pasukan Renault sudah bersuara dan bersedia untuk menyambut kembali Alonso ke pasukannya jika beliau menginginkannya.

Renault telah memenangi dua kali Kejuaraan Pengeluar terima kasih kepada Alonso dan sekiranya Alonso kembali ke pangkuan mereka, mereka berharap untuk mengungguli Kejuaraan tersebut sekali lagi. Meski pun begitu Flavio menegaskan bahawa Alonso seorang bukanlah satu jaminan kejayaan.

Bagi Alonso pula, kini fokusnya hanya pada Kejuaraan Pemandu dengan hanya 5 mata di belakang Hamilton dan bukan berfikir tentang soal masa depannya.

No comments: