Sunday, September 9, 2007

Monza milik Alonso!


Litar lumba Monza, litar terpantas dalam kalendar Formula 1, dibanjiri ratusan peminat-peminat sukan berprestij ini terutama peminat-peminat pasukan Ferrari yang turun untuk menyokong pasukan pengeluar tempatan ini.

Pasukan McLaren dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlumbaan hari ini dengan Alonso dan Hamilton berada di grid barisan pertama. Felipe Massa akan memulakan perlumbaan di grid barisan kedua bersama-sama Nick Heidfeld dari pasukan BMW Sauber. Kimi Raikkonen yang mengalami kekejangan leher sederhana disebabkan kemalangannya semasa sessi latihan ketiga semalam, berada di grid barisan ketiga.

McLaren sekali lagi berada menjadi bualan hangat di paddock pagi ini apabila majistret Itali telah memaklumkan bahawa pasukan tersebut akan disiasat berkenaan maklumat sulit yang dimilikinya dari Ferrari.

Tetapi ketika ini semua fokus terletak di atas litar lumba Monza untuk 53 pusingan yang akan berlangsung.

Perlumbaan Grand Prix Itali bermula sebaik sahaja kelima-lima lampu merah dinyalakan dengan Alonso mendahului dari Hamilton yang memotong chicane pada selekoh pertama untuk memastikan Massa berada di belakangnya.

Raikkonen memintas Nick Heidfeld untuk tempat keempat sementara Hamilton diasak hebat oleh Massa. Jenson Button kini di petak ke-9, Mark Webber P10. Jarno Trulli pula kehilangan posisi dari 9 ke P12.

Di pusingan ke-2, kemalangan David Coulthard di Curva Grande menyebabkan Safety Car dikeluarkan. Coulthard bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Satu perlumbaan yang singkat untuk pemandu dari Scotland ini!

Pitlane hanya dibuka di pusingan ke-4 namun tiada pemandu yang memilih untuk ke pit kecuali Sebastian Vettel, itu pun sebelum kemalangan berlaku. Kemungkinan pemandu Toro Rosso ini mengalami masalah pada keretanya.

Safety Car dipanggil masuk pada pusingan ke-7.

Alonso masih mendahului perlumbaan walaupun Hamilton cuba memintasnya. Kedua-dua pemandu Ferrari leka dan gagal memberi sebarang asakan kepada pemandu pasukan McLaren.

Massa masuk ke pit untuk pada pusingan ke-10. Ini bukanlah satu pitstop yang dijadualkan untuk Massa. Kelihatan seperti kereta F2007 miliknya menghadapi masalah dan beliau kembali ke pit pada pusingan berikutnya. Nampaknya setakat ini saja perlumbaan pemuda dari Brazil ini. Satu perlumbaan yang mengecewakan baginya apatah lagi jika difikirkan tentang mata terkumpul untuk kejuaraan pemandu yang hilang.

Sementara itu di litar, pemandu McLaren semakin menjarakkan diri dari Raikkonen yang kini di P3. Pemandu Finland itu mula mendapat asakan dari Heidfeld.

Alonso mencatat masa terpantas 1:22.871 untuk perlumbaan ini di pusingan ke-15.

Takuma Sato memintas rakan senegaranya, Sakon Yamamoto untuk P18 di pusingan ke-16. Alexander Wurz juga dipintas oleh Trulli dan kini terdapat barisan kereta di belakang kereta beliau didahului oleh Anthony Davidson dari pasukan Super Aguri,

Jarak antara Alonso dan Raikkonen kini adalah 10 saat.

Hamilton masuk ke pit di pusingan ke-18 dari P2 dan kembali ke litar di P6 tanpa sebarang trafik.

Dengan Hamilton masuk ke pit dahulu ini bermakna ketika sessi kelayakan semalam Alonso membawa lebih banyak minyak berbanding Hamilton. Catatan masa terpantas beliau semalam memang menakjubkan.

Giliran Alonso masuk ke pit pada pusingan ke-20. Beliau, seperti juga teman sepasukannya akan menggunakan strategi 2 pitstop untuk perlumbaan hari ini dan ini adalah pitstop rutin pertamanya. Alonso berjaya mengekalkan kedudukannya di hadapan Hamilton apabila beliau kembali ke litar

Raikkonen kini mendahului perlumbaan.

Nico Rosberg akhirnya berjaya memintas Button untuk P8 di pusingan ke-21 selepas hampir lebih 10 pusingan memberi asakan.

Heidfeld, Heikki Kovalainen dan Adrian Sutil masuk ke pit pada pusingan ke-22. Raikkonen pula mula 'lapping' trafik bermula dengan Yamamoto.

Akhirnya Raikkonen masuk ke pit pada pusingan ke-25 dengan jarak 20 saat dari Alonso. Raikkonen dijangka menggunakan strategi 1 pitstop dan jika benar beliau mungkin akan memberi masalah kepada kedua-dua pemandu McLaren. Tidak mustahil kini untuk beliau memenangi perlumbaan hari ini apatah lagi dengan McLaren menggunakan 2 pitstop strategi. Ini adalah salah satu jawapan Ferrari bagi kepantasan serta dominasi kereta McLaren sepanjang minggu ini. Raikkonen kembali ke litar di P3.

Giancarlo Fisichella memintas Davidson untuk P13 di pusingan ke-27.

Ramai juga pemandu lain yang masih belum masih ke pit untuk pitstop rutin mereka. Jelas sekali mereka juga akan menggunakan strategi 1 pitstop untuk perlumbaan ini.

Rosberg dan Trulli masuk ke pit pada pusingan ke-31.

Ralf Schumacher dan Vettel pula masuk ke pit pada pusingan-32. Ini adalah pitstop kali kedua bagi Vettel namun ia adalah pitstop rutin pertama beliau.

Raikkonen kehilangan hampir 1 saat untuk 1 pusingan kepada McLaren ketika ini.

Button masuk ke pit pada pusingan ke-34 dari P6. Begitu juga dengan Fisichella. Pada pusingan ke seterusnya, giliran Rubens Barrichello, Sato dan Webber pula untuk melakukan pitstop rutin mereka.

Raikkonen perlu berada dalam jarak 30 saat diantaranya dengan pemandu McLaren jika beliau mahu memintas mereka apabila mereka masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua masing-masing.

Alexander Wurz adalah pemandu terakhir untuk masuk ke pit pada pusingan ke-38.

Pada pusingan ke-40, Alonso semakin menjarakkan keretanya dari teman sepasukan, Hamilton. Kini perbezaan masa antara mereka adalah 6 saat.

Hamilton masuk ke pit pada pusingan ke-41 dengan beza 23 saat antaranya dengan Raikkonen. Beliau gagal mendapatkan kedudukannya kembali apabila Raikkonen memintasnya sebaik sahaja beliau keluar dari pitlane.

Mampukah Raikkonen melakukan perkara yang sama kepada Alonso nanti?

Hamilton walaubagaimanapun tidak berputus asa dan mula memberi asakan kepada Raikkonen di pusingan ke-42 dan pada pusingan berikutnya, beliau berjaya mendapakan semula P2 dari Raikkonen apabila beliau memintas pemandu Finn tersebut pada selekoh pertama. Satu pemanduan yang berani oleh pemandu Britain ini. Raikkonen tidur sekali lagi?

Alonso masuk ke pit pada pusingan ke-44 dan beliau kekal mendahului perlumbaan dengan Hamilton di belakangnya.

Walau dengan strategi yang baik oleh pasukan Ferrari, mereka tidak mampu untuk melakukan apa-apa dengan pemanduan cemerlang yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemandu McLaren. Berkemungkinan juga kereta Raikkonen menghadapapi sedikit masalah kerana catatan masanya yang perlahan berbanding catatan masanya sebelum ini. Beliau semakin cepat menggunakan brake pada setiap selekoh.

Litar Monza memang terkenal dengan isu brake kerana bukan sahaja set-up kereta low down-force diperlukan malah kereta juga selalunya menggunakan brake yang berlebihan di litar ini. Ini memberikan tekanan yang lebih kepada brake-disc kereta.

Button masih di P8 pada pusingan ke-46 dan kelihatan set untuk mendapatkan mata kedua untuk pasukan Honda musim ini.

Kelihatannya seperti Alonso tiada sebarang masalah untuk mengawal perlumbaan. Jika keadaan kekal sepertimana ia sekarang, beliau akan memintas 2 lagi mata dari Hamilton untuk Kejuaraan Pemandu, menjadikan beza hanya 3 mata antara dua pemandu ini.

Di pusingan ke-50, Kubica masih tidak mengaku kalah untuk mengejar teman sepasukannya, Heidfeld, di P4 ketika ini apabila beliau memintas Rosberg untuk P5. Beza masa antara kedua pemandu ini adalah lebih kurang 11 saat sahaja.

McLaren menang 1-2 di Monza. Satu kemenangan yang manis tentunya untuk pasukan ini dan kemenangan yang lebih manis untuk Alonso. Raikkonen terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Satu perlumbaan yang mengecewakan untuk pasukan Ferrari apatah lagi di hadapan peminat sendiri di negara sendiri.

Satu lagi persembahan mantap bagi pasukan BMW Sauber dengan Heidfeld dan Kubica masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Rosberg mengakhiri perlumbaan di tempat keenam untuk pasukan WilliamsF1. Kovalainen di tempat ketujuh dengan Button mengumpul mata terakhir perlumbaan di tempat kelapan.

Nampaknya kejuaraan pemandu menjadi semakin menarik sementara McLaren semakin menjarakkan diri dari pasukan Ferrari untuk kejuaraan pengeluar. Kini McLaren mendahului 23 mata.

Bertemu lagi kita pada minggu hadapan untuk Grand Prix kegemaran saya, di Spa-Francorchamps!

No comments: