Friday, September 28, 2007

Hamilton mengetuai McLaren 1-2 di Fuji


Giliran McLaren mendahului sessi latihan kedua di Fuji hari ini apabila Hamilton mencatat masa terpantas untuk mengetuai catatan 1-2 oleh pasukan McLaren.

Hamilton yang hanya 2 mata mendahului rakan sepasukannya, Fernando Alonso untuk kejuaraan tahun ini mengekalkan jarak 0.2 saat dari pemandu Sepanyol itu sepanjang sessi dijalankan .

Felipe Massa untuk pasukan Ferrari di tempat ketiga namun ketinggalan lebih 0.7 saat dibelakang Hamilton.

Kimi Raikkonen yang mendahului sessi latihan pagi tadi jatuh ke tempat kelima. Jarno Truli memisahkan kedua-dua pemandu Ferrari di tempat keempat di litar kepunyaan Toyota.

Jika sebelum ini kebanyakan pemandu dari pasukan atas akan menunggu hingga ke saat akhir untuk mencatat masa, di litar ini mereka segera ke litar sebaik sahaja sessi dimulakan untuk mempelajari selok belok litar.

Hamilton memecahkan rekod yang dicatat oleh Raikkonen pagi tadi dengan beza 0.4 saat untuk mencatat masa terpantas 1m18.734s selepas setengah jam sessi latihan 2 bermula.

Alonso mencatat masa 1m18.948s sementara pasukan Ferrari gagal memberi sebarang saingan kepada pasukan lawan mereka.

Ini bukan kerana mereka tidak mencuba malah Massa terutamanya kelihatan agak kurang kemas dan terbabas dari litar sebanyak dua kali pada satu pusingan dalam cubaan beliau untuk mendapatkan kelajuan yang lebih dari kereta F2007 miliknya.

Terdapat beberapa peningkatan selepas setengah jam sessi bermula apabila pasukan-pasukan yang bersaing mula fokus untuk persediaan perlumbaan yang akan berlangsung Ahad ini serta apabila suhu litar mula turun.

Trulli dan Raikkonen masing-masing hampir mencatat masa yang sama di tempat keempat dan kelima menyingkirkan pemandu Renault Heikki Kovalainen dan Giancarlo Fisichella di tempat keenam dan ketujuh.

David Coulthard berada di tempat kelapan di hadapan Ralf Schumacher dari pasukan Toyota dan Robert Kubica melengkapkan kedudukan kesepuluh teratas.



No comments: