Friday, September 7, 2007

McLaren mengungguli di sessi latihan kedua di Monza


Fernando Alonso mendominasi sessi latihan kedua untuk Grand Prix Itali hari ini sementara teman sepasukannya Lewis Hamiton di tempat kedua.

Musuh McLaren, pasukan Ferrari, lebih banyak menghabiskan masa sessi latihan mereka memperbaiki kereta Kimi Raikonen yang mengalami masalah hidraulik. Kimi mengakhiri sessi latihan di tempat ke lapan. Masa terpantas beliau untuk sessi latihan pertama hanya lebih kurang 0.1 saat lebih perlahan dari masa terpantas Alonso iaitu 1m22.386s.

Ini jelas membayangkan persaingan yang sengit antara kedua-dua pasukan ini.

Walau bagaimanapun, persembahan Alonso tengahari ini memang sangat baik dengan 0.8s lebih pantas dari Hamilton manakala lebih dari 1 saat lebih pantas dari pemandu-pemandu yang lain.

Harapan Ferrari terletak pada Felipe Massa untuk mengatasi McLaren namun pemandu Brazil ini lebih berminat untuk mencuba tempat sasar baru di Variante della Roggia apabila beliau tersasar tiga kali di tempat yang sama. Beliau juga turut berpusing di chicane yang sama memaksa Alonso mengelaknya. Massa mencatat masa ke enam terpantas.

Pemandu asal Itali, Giancarlo Fisichella tidak melepaskan peluang yang ada untuk menempatkan kereta Renault di tempat ketiga. Beliau berharap persembahannya hari ini dapat meyakinkan Renault untuk meneruskan kontraknya bagi tahun 2008.

Robert Kubica menduduki tempat ke empat untuk pasukan BMW Sauber. Beliau berada di hadapan Nico Rosberg yang sentiasa konsisten dengan persembahannya musim ini.

Nick Heidfeld di tempat ke tujuh sementara Raikkonen, Heikki Kovalainen dan Alexander Wurz melengkapkan tempat ke sepuluh teratas untuk sessi latihan kedua hari ini.



No comments: