Friday, September 14, 2007

Alonso terpantas di Spa


Walaupun dengan berita yang McLaren akan dilucutkan dari Kejuaraan Pengeluar musim ini, pasukan ini masih tetap mampu memberi saingan kepada Ferrari. Begitu juga dengan pemandu-pemandunya.

Fernando Alonso membuktikan yang beliau masih tetap fokus pada perlumbaan di Belgium ini apabila beliau mendahului pemandu lain pada sessi latihan kedua dengan catatan masa 1:46.654s. Alonso terus kekal terpantas sebaik sahaja beliau melakukan pusingan pertama untuk sessi ini. Teman sepasukannya, Lewis Hamilton pula hanya berada 0.1 saat dibelakangnya.

Hamilton yang kini masih mendahului Kejuaraan Pemandu agak sukar untuk mencari set-up yang sesuai untuk kereta MP4-22 miliknya. Hamilton berada di tempat keenam pada hampir 90 minit sessi latihan kedua ini sehinggalah pada lima minit terakhir di mana beliau dapat memperbaiki catatan masa yang dicatatkan.

Felipe Massa dari pasukan Ferrari adalah pencabar terdekat pemandu McLaren di tempat ketiga manakala Kimi Raikkonen turun dari posisi pertama pada sessi latihan pertama pagi tadi ke tempat keempat.

Jarno Trulli dan Ralf Schumacher dari pasukan Toyota mencatat masa yang kompetitif pada sessi latihan kedua ini dengan masing-masing di tempat kelima dan keenam.

Kedua-dua pemandu pasukan Renault berjaya menempatkan kereta R27 masing-masing di tempat kesepuluh teratas dengan Giancarlo Fisichella mendahului di tempat ketujuh manakala Heikki Kovalainen di tempat kesepuluh.

Mark Webber juga tidak kurang hebatnya di tempat kelapan dengan Robert Kubica melengkapkan posisi sepuluh terpantas di tempat kesembilan.

Nick Heidfeld berada di tempat ke-11 di hadapan Nico Rosberg. Di tempat ke-13, adalah pemandu kedua dari pasukan Red Bull Racing iaitu David Coulthard yang berhenti di chicane Fagnes pada awal sessi latihan yang disebabkan oleh masalah kotak gear.

Seperti yang dijangkakan, pasukan Honda kurang menyengat di litar yang memerlukan tahap downforce yang tinggi seperti di litar Spa ini dan Jenson Button serta Rubens Barrichello hanya mampu mencatat masa ke-14 dan ke-15 terpantas.

Walaubagaimanapun, pasukan yang semakin menunjukkan peningkatan sejak Monza adalah pasukan Spyker dengan kereta spesifikasi-B terbarunya. Sakon Yamamoto mencatat masa ke-17 terpantas dan sekaligus meletakkan beliau di hadapan kedua-dua pemandu Toro Rosso dan Super Aguri sementara Adrian Sutil berada di tempat ke-20. Namun sessi latihan bagi pemandu muda dari Jerman ini terhenti selepas 24 pusingan apabila beliau terbabas di selekoh Les Combes.

No comments: